Imamat 19:20-35 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Jika seorang abdi perempuan dijanjikan kepada seorang lelaki untuk menjadi gundiknya, tetapi perempuan itu belum dibayar, dan jika seorang lelaki lain bersetubuh dengan abdi itu, mereka berdua harus dihukum, tetapi tidak dihukum mati kerana perempuan itu masih abdi.

21. Lelaki itu harus membawa seekor domba jantan ke pintu Khemah TUHAN sebagai korban untuk membayar ganti rugi.

22. Imam akan mempersembahkan domba itu dalam upacara penyucian untuk menghapuskan dosa orang itu, maka Allah akan mengampuni dia.

23. Apabila kamu masuk ke negeri Kanaan lalu menanam pokok buah jenis apa sahaja, anggaplah buah pokok itu haram selama tiga tahun yang pertama, dan kamu tidak boleh memakannya.

24. Pada tahun keempat, semua buahnya harus dikhaskan sebagai persembahan untuk menyatakan kesyukuran kamu kepada-Ku, TUHAN.

25. Pada tahun kelima, barulah kamu boleh makan buah pokok itu. Jika kamu berbuat demikian, pokok-pokok buah kamu akan berbuah lebih banyak lagi. Akulah TUHAN, Allah kamu.

26. Jangan makan daging yang masih berdarah. Jangan lakukan ilmu sihir apa pun.

27. Jangan gunting rambut di pelipis kamu atau gunting janggut kamu.

28. Jangan rajah kulit kamu, atau lukai tubuh kamu sebagai tanda berkabung bagi orang mati. Akulah TUHAN.

29. Jangan permalukan anak perempuan kamu dengan menjadikan mereka pelacur di kuil. Jika kamu berbuat demikian, negeri kamu akan tercemar dan perbuatan keji akan merajalela di situ.

30. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah tempat Aku disembah. Akulah TUHAN.

31. Jangan minta nasihat daripada orang yang berhubung dengan roh-roh orang mati. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menjadi najis. Akulah TUHAN, Allah kamu.

32. Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua. Kamu harus hormat dan takut akan Aku, kerana Akulah TUHAN.

33. Jangan tindas orang asing yang tinggal di negeri kamu.

34. Perlakukanlah mereka seperti kamu memperlakukan orang kamu sendiri, dan kasihilah mereka seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri. Ingatlah bahawa kamu pun pernah hidup sebagai orang asing di negeri Mesir. Akulah TUHAN, Allah kamu.

35. Jangan tipu sesiapa pun dengan menggunakan ukuran, timbangan, atau sukatan yang salah.

Imamat 19