Imamat 19:10-23 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Jangan kumpulkan buah anggur yang tertinggal selepas kamu memetiknya pada kali pertama; jangan pungut buah anggur yang sudah jatuh. Tinggalkanlah semua itu untuk orang miskin dan orang asing. Akulah TUHAN, Allah kamu.

11. Jangan curi apa pun; jangan tipu sesiapa pun; jangan berdusta.

12. Jangan berjanji demi nama-Ku jika kamu tidak bermaksud menepati janji itu. Perbuatan demikian menghina nama-Ku. Akulah TUHAN, Allah kamu.

13. Jangan perdayakan orang, dan jangan rompak sesiapa pun. Jangan tahan upah orang yang sudah bekerja untukmu, jangan tahan upahnya walaupun untuk satu malam.

14. Jangan kutuk orang tuli, dan jangan letakkan batu sandungan di hadapan orang buta sehingga dia jatuh. Kamu harus takut akan Aku; Akulah TUHAN, Allah kamu.

15. Jangan berlaku curang apabila kamu mengadili perkara orang. Jangan berlaku berat sebelah, sama ada terhadap orang yang miskin ataupun yang kaya.

16. Jangan sebarkan fitnah tentang orang lain. Apabila seseorang diadili, jangan berikan kesaksian palsu yang menyebabkan orang itu dihukum mati. Akulah TUHAN.

17. Jangan berdendam terhadap sesiapa pun. Selesaikanlah perselisihan kamu dengan dia, supaya kamu tidak berdosa kerana orang itu.

18. Jangan balas dendam terhadap sesiapa pun, atau terus-menerus membenci orang. Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. Akulah TUHAN.

19. Patuhilah perintah-Ku. Jangan kahwinkan dua ekor binatang yang berlainan jenis. Jangan tabur dua jenis benih di ladang yang sama. Jangan pakai pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang.

20. Jika seorang abdi perempuan dijanjikan kepada seorang lelaki untuk menjadi gundiknya, tetapi perempuan itu belum dibayar, dan jika seorang lelaki lain bersetubuh dengan abdi itu, mereka berdua harus dihukum, tetapi tidak dihukum mati kerana perempuan itu masih abdi.

21. Lelaki itu harus membawa seekor domba jantan ke pintu Khemah TUHAN sebagai korban untuk membayar ganti rugi.

22. Imam akan mempersembahkan domba itu dalam upacara penyucian untuk menghapuskan dosa orang itu, maka Allah akan mengampuni dia.

23. Apabila kamu masuk ke negeri Kanaan lalu menanam pokok buah jenis apa sahaja, anggaplah buah pokok itu haram selama tiga tahun yang pertama, dan kamu tidak boleh memakannya.

Imamat 19