24. Dia mesti mandi di satu tempat yang khas, kemudian memakai pakaiannya sendiri. Selepas itu dia harus keluar, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menghapuskan dosanya sendiri dan dosa umat Israel.
25. Dia harus membakar lemak binatang yang dipersembahkan bagi korban untuk mengampunkan dosa, di atas mazbah.
26. Orang yang melepaskan kambing jantan untuk Azazel di padang gurun, mesti mencuci pakaiannya dan mandi sebelum balik ke perkhemahan.
27. Lembu jantan dan kambing yang dipersembahkan bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan yang darahnya dibawa ke dalam Bilik Maha Suci untuk menghapuskan dosa, mesti dibawa ke luar perkhemahan dan dibakar. Kulit, daging, dan usus kedua-dua binatang itu mesti dibakar semuanya.
28. Orang yang membakarnya mesti mencuci pakaiannya dan mandi sebelum balik ke perkhemahan.
29. Peraturan-peraturan yang berikut harus dipatuhi selama-lamanya. Pada hari kesepuluh bulan ketujuh, orang Israel dan orang asing yang tinggal bersama-sama mereka, mesti berpuasa dan tidak boleh bekerja.
30. Pada hari itu upacara harus dilakukan untuk menyucikan mereka daripada segala dosa agar mereka menjadi tahir.
31. Hari itu adalah hari yang sangat suci, apabila orang Israel berpuasa dan tidak bekerja sama sekali. Peraturan-peraturan ini mesti dipatuhi selama-lamanya.
32. Imam Agung yang telah ditahbiskan untuk menggantikan bapanya, dan dikhaskan bagi Allah, mesti melakukan upacara penyucian. Dia harus memakai pakaian imam,
33. lalu melakukan upacara penyucian bagi Bilik Maha Suci, bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN, mazbah, imam-imam, dan semua orang Israel.
34. Peraturan-peraturan ini mesti dipatuhi selama-lamanya. Upacara ini mesti dilakukan sekali setahun untuk menyucikan orang Israel daripada segala dosa mereka.Oleh itu, semuanya dilakukan sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.