Imamat 16:14-24 Alkitab Berita Baik (BM)

14. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarinya memercikkan darah itu di bahagian depan penutup Tabut Perjanjian dan tujuh kali di depan Tabut itu.

15. Kemudian Harun harus menyembelih kambing itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia harus membawa darah kambing itu ke dalam Bilik Maha Suci, lalu memercikkan darah itu di atas penutup Tabut Perjanjian dan di hadapan Tabut itu sebagaimana yang dilakukannya dengan darah lembu jantan itu.

16. Dengan cara ini dia melakukan upacara untuk menyucikan Bilik Maha Suci daripada kenajisan umat Israel dan daripada segala dosa mereka. Dia mesti melakukan upacara ini bagi bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN kerana Khemah itu ada di tengah-tengah perkhemahan yang najis.

17. Tiada seorang pun boleh berada di dalam Khemah TUHAN, mulai dari saat Harun masuk ke dalam Bilik Maha Suci untuk melakukan upacara penyucian, sehingga dia keluar semula. Selepas dia melakukan upacara itu bagi dirinya sendiri, bagi keluarganya, dan bagi semua orang Israel,

18. dia harus pergi ke mazbah tempat membakar korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya menyucikan mazbah itu. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan dan sedikit darah kambing, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah.

19. Kemudian dengan jarinya dia harus memercikkan darah itu ke atas mazbah sebanyak tujuh kali. Dengan cara ini dia menyucikan mazbah itu daripada kenajisan umat Israel, dan menjadikan mazbah itu suci.

20. Selepas Harun melakukan upacara penyucian bagi Bilik Maha Suci, bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN dan mazbah, lalu kepada TUHAN dia harus mempersembahkan kambing jantan hidup yang dipilih bagi Azazel.

21. Harun harus meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas kepala kambing itu lalu mengakui segala kejahatan, dosa, dan pemberontakan umat Israel. Dengan demikian semua dosa umat Israel dipindahkan ke atas kepala kambing itu. Kemudian kambing itu harus diusir ke padang gurun oleh seorang yang sudah diberikan tugas itu.

22. Kambing itu membawa segala dosa umat Israel jauh ke tanah tandus, yang tidak dihuni orang. Kambing itu akan dilepaskan di padang gurun.

23. Selepas itu Harun harus masuk ke dalam Khemah TUHAN, membuka pakaian imam yang dipakainya ketika dia masuk ke Bilik Maha Suci, lalu meninggalkan pakaian itu di situ.

24. Dia mesti mandi di satu tempat yang khas, kemudian memakai pakaiannya sendiri. Selepas itu dia harus keluar, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menghapuskan dosanya sendiri dan dosa umat Israel.

Imamat 16