Imamat 16:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Selepas kedua-dua orang anak Harun meninggal kerana mempersembahkan api yang tidak dikehendaki TUHAN, TUHAN berfirman kepada Musa,

2. “Beritahulah Harun, abangmu itu, bahawa hanya pada waktu yang telah ditentukan, dia boleh pergi ke belakang tirai, ke dalam Bilik Maha Suci, kerana di situlah Aku menampakkan diri di dalam awan di atas penutup Tabut Perjanjian. Jika Harun melanggar perintah itu, dia akan mati.

3. Dia boleh masuk ke dalam Bilik Maha Suci hanya sesudah dia membawa seekor lembu muda bagi korban untuk mengampunkan dosa dan seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.”

4. Kemudian Harun harus memperhatikan peraturan-peraturan yang berikut. Sebelum Harun masuk ke Bilik Maha Suci, dia harus mandi dan memakai pakaian imam: jubah, celana pendek, ikat pinggang, dan serban, yang semuanya dibuat daripada linen.

5. Umat Israel harus memberikan dua ekor kambing jantan kepada Harun bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor domba jantan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

6. Dia harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk menghapuskan dosanya sendiri dan dosa keluarganya.

7. Kemudian dia harus membawa dua ekor kambing itu ke pintu Khemah TUHAN.

8. Di situ dia harus membuang undi dengan menggunakan dua biji batu: yang satu ditandai “Untuk TUHAN” dan yang satu lagi ditandai “Untuk Azazel.”

9. Harun akan menyembelih kambing yang terpilih untuk TUHAN, lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa.

10. Kambing yang dipilih untuk Azazel, harus dipersembahkan hidup-hidup kepada TUHAN, lalu dilepaskan ke padang gurun untuk Azazel supaya dosa umat Israel dihapuskan.

11. Apabila Harun mempersembahkan lembu jantan itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri dan bagi keluarganya,

12. dia harus membawa sebuah perbaraan yang penuh dengan bara api dari mazbah dan dua genggam kemenyan halus, lalu membawa semuanya ke dalam Bilik Maha Suci.

13. Di sana, di hadapan Tabut Perjanjian, dia harus membakar kemenyan itu dan asap kemenyan itu akan menutupi penutup Tabut Perjanjian supaya Harun tidak nampak penutup itu; jika dia nampak penutup itu, dia akan mati.

14. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarinya memercikkan darah itu di bahagian depan penutup Tabut Perjanjian dan tujuh kali di depan Tabut itu.

Imamat 16