Imamat 15:13-31 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Selepas lelaki itu sembuh, dia harus menunggu sehingga tujuh hari, lalu mencuci pakaiannya dan mandi dengan air dari mata air, barulah dia tahir.

14. Pada hari kelapan, lelaki itu harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur ke pintu Khemah TUHAN, lalu memberikan semuanya kepada imam.

15. Imam akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian untuk orang itu di hadapan TUHAN.

16. Apabila mani keluar daripada seseorang lelaki, dia harus mandi, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

17. Apa sahaja yang dibuat daripada kain atau kulit yang terkena mani harus dicuci, dan benda itu tetap najis sehingga matahari terbenam.

18. Setelah bersetubuh, baik lelaki mahupun perempuan harus mandi, dan mereka tetap najis sehingga matahari terbenam.

19. Apabila seorang perempuan sedang haid, dia najis selama tujuh hari. Sesiapa yang menyentuh dia menjadi najis sehingga matahari terbenam.

20. Apa sahaja yang diduduki atau ditiduri perempuan itu ketika dia haid, benda itu pun menjadi najis.

21-23. Sesiapa yang menyentuh katil perempuan itu atau apa sahaja yang sudah didudukinya, orang itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam.

24. Jika seorang lelaki bersetubuh perempuan yang sedang haid, lelaki itu dicemari oleh kenajisan perempuan itu, maka lelaki itu pun menjadi najis selama tujuh hari. Setiap tempat tidur yang ditiduri lelaki itu juga menjadi najis.

25. Jika seorang perempuan mengalami pendarahan selama beberapa hari di luar masa haidnya, atau jika pendarahannya belum berhenti sesudah masa haidnya yang biasa, dia menjadi najis selama pendarahan itu, seperti pada masa dia haid.

26. Setiap tempat tidur yang ditidurinya, atau apa sahaja yang didudukinya pada masa itu pun menjadi najis.

27. Sesiapa yang menyentuh benda itu menjadi najis dan mesti mencuci pakaiannya dan mandi; orang itu tetap najis sehingga matahari terbenam.

28. Setelah pendarahan perempuan itu berhenti, dia harus menunggu selama tujuh hari, barulah dia tahir.

29. Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur kepada imam di pintu Khemah TUHAN.

30. Imam itu akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian bagi perempuan itu.

31. Demikianlah TUHAN menyuruh Musa memperingatkan umat Israel supaya memperhatikan masa mereka najis, supaya mereka tidak menajiskan Khemah TUHAN yang di tengah-tengah mereka. Jika mereka menajiskan Khemah TUHAN, mereka akan mati.

Imamat 15