Imamat 14:41-57 Alkitab Berita Baik (BM)

41. Setelah itu seluruh tembok rumah itu mesti dikikis, lalu kikisannya dibuang ke tempat yang najis di luar kota.

42. Batu-batu baru harus digunakan untuk menggantikan batu-batu yang sudah dibuang. Seluruh tembok rumah itu harus dilapis dengan lepa baru.

43. Jika kulapuk itu muncul semula di dalam rumah selepas batu-batu itu sudah diganti, dan temboknya sudah dikikis serta dilepa semula,

44. imam harus pergi memeriksanya. Jika kulapuk itu merebak, rumah itu najis.

45. Rumah itu mesti dirobohkan, lalu batu-batunya, kayunya dan semua lepanya mesti dibawa ke luar kota, ke tempat yang najis.

46. Sesiapa yang masuk ke dalam rumah itu ketika masih terkunci akan najis sehingga matahari terbenam.

47. Sesiapa yang tidur atau makan di dalam rumah itu mesti mencuci pakaiannya.

48. Tetapi apabila imam datang untuk memeriksa rumah itu, dan menurut pemeriksaannya kulapuk tidak terdapat lagi di dalam rumah yang sudah dilepa semula itu, imam harus mengumumkan bahawa rumah itu tahir kerana semua kulapuk sudah hilang.

49. Untuk menyucikan rumah itu, imam harus membawa dua ekor burung, kayu sedar, seutas tali merah, dan setangkai hisop.

50. Imam harus menyembelih seekor daripada burung itu di atas belanga yang berisi air bersih dari mata air.

51. Kemudian imam harus mengambil kayu sedar, hisop, tali merah, dan burung yang hidup itu, lalu mencelupkan semuanya ke dalam darah burung yang sudah disembelih dan juga ke dalam air bersih itu; lalu dia harus memerciki rumah itu tujuh kali.

52. Dengan cara ini imam menyucikan rumah itu dengan darah burung, air bersih, burung yang hidup, kayu sedar, hisop, dan tali merah itu.

53. Kemudian dia harus melepaskan burung yang hidup itu di luar kota, ke padang yang terbuka. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian untuk rumah itu, maka rumah itu tahir.

54. Inilah peraturan-peraturan tentang penyakit kulit yang mengerikan;

55-56. kudis, bisul, atau radang; dan juga tentang kulapuk pada pakaian atau rumah.

57. Peraturan-peraturan ini menentukan sama ada sesuatu benda itu najis atau tahir.

Imamat 14