1. TUHAN memberi Musa
2. peraturan-peraturan berikut tentang upacara penyucian bagi seseorang yang sudah sembuh daripada penyakit kulit yang mengerikan. Pada hari orang itu diumumkan tahir, dia harus dibawa kepada imam.
3. Kemudian imam akan pergi ke luar perkhemahan lalu memeriksa orang itu. Jika penyakit itu sudah sembuh,
4. imam akan menyuruh orang membawa dua ekor burung yang halal dan yang hidup, sepotong kayu sedar, seutas tali merah, dan setangkai hisop.
5. Kemudian imam akan menyuruh orang supaya menyembelih seekor daripada burung itu di atas belanga yang berisi air bersih dari mata air.
6. Dia akan mengambil burung yang seekor lagi lalu mencelupkannya ke dalam darah burung yang sudah disembelih itu, bersama-sama kayu sedar, tali merah, dan hisop itu.
7. Imam akan memercikkan darah itu tujuh kali pada orang yang hendak disucikan daripada penyakit kulit yang mengerikan, lalu dia akan mengumumkan bahawa orang itu tahir. Kemudian imam akan melepaskan burung yang hidup itu ke padang.
8. Orang yang sudah diumumkan tahir itu harus mencuci pakaiannya, mencukur semua rambutnya, dan mandi; lalu dia akan tahir. Dia boleh masuk ke dalam perkhemahan, tetapi dia mesti tinggal di luar khemahnya selama tujuh hari.
9. Pada hari ketujuh, sekali lagi dia harus mencukur rambutnya, janggutnya, bulu keningnya, dan semua bulu roma yang ada pada badannya. Kemudian dia harus mencuci pakaiannya dan mandi, lalu dia akan tahir.
10. Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor anak domba jantan dan seekor anak domba betina yang berumur satu tahun, yang semuanya tidak ada cacat, dan juga tiga kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun serta sepertiga liter minyak zaitun.
11. Imam akan membawa orang itu dan semua persembahan itu ke pintu Khemah TUHAN.
12. Kemudian imam akan mempersembahkan seekor daripada anak domba jantan itu dan sepertiga liter minyak zaitun itu sebagai korban untuk membayar ganti rugi. Dia akan mempersembahkan korban ini sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN.
13. Imam harus menyembelih anak domba itu di tempat yang suci, tempat orang menyembelih binatang bagi korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam mesti melakukan perkara ini kerana korban untuk membayar ganti rugi serta korban untuk mengampunkan dosa sangat suci, dan menjadi milik imam.