Imamat 13:7-24 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Tetapi jika kudis orang itu merebak setelah imam memeriksanya dan mengumumkan bahawa dia tahir, orang itu harus menghadap imam lagi.

8. Imam itu harus memeriksa dia lagi, dan jika benar-benar kudis itu merebak, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Kudis itu penyakit kulit yang mengerikan.

9. Apabila seseorang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, dia harus dibawa menghadap imam.

10. Imam itu akan memeriksa dia. Jika imam mendapati kudis pada kulit orang itu putih, bernanah dan bulu romanya putih,

11. kudis itu penyakit kulit yang teruk. Imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Orang itu tidak perlu diasingkan kerana sudah nyata bahawa dia najis.

12. Jika penyakit kulit itu merebak dari kepala sampai ke kaki,

13. imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika imam mendapati bahawa penyakit itu sudah benar-benar meliputi seluruh badan orang itu, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Jika seluruh kulitnya sudah menjadi putih, orang itu tahir.

14. Tetapi sebaik sahaja kudis yang bernanah muncul, orang itu najis.

15. Imam harus memeriksa dia lagi, dan jika imam mendapati kudis orang itu bernanah, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Kudis yang bernanah adalah penyakit kulit yang mengerikan, dan orang itu najis.

16. Tetapi jika kudis itu sembuh dan menjadi putih semula, orang itu harus menghadap imam

17. untuk diperiksa lagi. Jika kudisnya sudah menjadi putih, orang itu tahir, dan imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir.

18. Jika seseorang mempunyai bisul yang sudah sembuh,

19. tetapi kemudian pada bekas bisul itu terdapat bengkak putih atau radang putih kemerah-merahan, orang itu harus menghadap imam.

20. Imam itu akan memeriksa dia, dan jika radang itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan bulu roma di situ sudah menjadi putih, imam itu akan mengumumkan bahawa orang itu najis. Penyakitnya itu penyakit kulit yang mengerikan yang sudah bermula pada bisul itu.

21. Tetapi jika imam memeriksa bisul itu dan mendapati bulu roma di situ tidak menjadi putih, dan bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, imam itu harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.

22. Jika radang itu merebak, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Orang itu menghidap penyakit kulit yang mengerikan.

23. Tetapi jika radang itu tidak berubah dan tidak merebak, radang itu hanya bekas daripada bisul, dan imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir.

24. Apabila kulit seseorang terbakar, lalu kulit pada luka itu menjadi putih atau putih kemerah-merahan,

Imamat 13