Imamat 13:46-59 Alkitab Berita Baik (BM)

46. Dia akan tetap najis selama dia menghidap penyakit itu. Dia mesti tinggal di luar perkhemahan, terasing daripada orang lain.

47. Jika terdapat kulapuk pada pakaian yang dibuat daripada bulu domba atau linen,

48. ataupun pada potongan kain linen atau kain daripada bulu domba, ataupun pada kulit atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit,

49. dan jika warna kulapuk itu kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, kulapuk itu jenis yang merebak, dan mesti ditunjukkan kepada imam.

50. Imam harus memeriksanya, lalu mengasingkan benda itu selama tujuh hari.

51. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa benda itu lagi. Jika kulapuk itu merebak, benda itu najis.

52. Imam harus membakar benda itu kerana kulapuk itu jenis yang merebak dan mesti dibakar.

53. Tetapi jika menurut pemeriksaan imam, kulapuk itu tidak merebak pada benda itu,

54. imam harus memberikan arahan supaya benda itu dicuci dan diasingkan selama tujuh hari.

55. Selepas itu imam harus memeriksa benda itu. Jika kulapuk itu tidak berubah warna, walaupun tidak merebak, benda itu masih najis. Benda itu mesti dibakar seluruhnya, walaupun yang terkena kulapuk itu hanya di bahagian hadapan atau di bahagian belakang.

56. Tetapi apabila imam memeriksa kulapuk itu lagi, dan mendapati kulapuk itu sudah pudar warnanya, dia harus mengoyakkan bahagian itu daripada pakaian atau benda kulit itu.

57. Jika kulapuk itu muncul semula, hal ini bererti kulapuk merebak lagi. Pemiliknya harus membakar benda itu.

58. Jika kulapuk itu hilang selepas dicuci, benda itu harus dicuci lagi, lalu benda itu tahir.

59. Inilah peraturan-peraturan tentang kulapuk pada pakaian yang dibuat daripada bulu domba atau linen, ataupun pada kain linen atau kain daripada bulu domba, ataupun pada apa sahaja yang dibuat daripada kulit. Inilah caranya untuk menentukan sama ada sesuatu benda itu tahir atau najis.

Imamat 13