Imamat 13:38-50 Alkitab Berita Baik (BM)

38. Apabila terdapat radang putih pada kulit seorang lelaki ataupun perempuan,

39. imam harus memeriksa orang itu. Jika radang itu putih kabur, radang itu hanya ruam dan orang itu tahir.

40-41. Jika seseorang lelaki menjadi botak pada bahagian depan atau bahagian belakang kepalanya, orang itu tidak najis.

42. Tetapi jika pada tempat yang botak itu terdapat bintik yang putih kemerah-merahan, bintik itu penyakit kulit yang mengerikan.

43. Imam harus memeriksa orang itu, dan jika terdapat kudis yang putih kemerah-merahan,

44. imam harus mengumumkan bahawa dia najis, kerana kudis di kepalanya itu penyakit kulit yang mengerikan.

45. Seseorang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan harus memakai pakaian yang koyak dan membiarkan rambutnya kusut. Dia harus menutup bahagian bawah mukanya dan berseru, “Najis! Najis!”

46. Dia akan tetap najis selama dia menghidap penyakit itu. Dia mesti tinggal di luar perkhemahan, terasing daripada orang lain.

47. Jika terdapat kulapuk pada pakaian yang dibuat daripada bulu domba atau linen,

48. ataupun pada potongan kain linen atau kain daripada bulu domba, ataupun pada kulit atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit,

49. dan jika warna kulapuk itu kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, kulapuk itu jenis yang merebak, dan mesti ditunjukkan kepada imam.

50. Imam harus memeriksanya, lalu mengasingkan benda itu selama tujuh hari.

Imamat 13