Imamat 13:24-44 Alkitab Berita Baik (BM)

24. Apabila kulit seseorang terbakar, lalu kulit pada luka itu menjadi putih atau putih kemerah-merahan,

25. imam harus memeriksa dia. Jika bulu roma pada radang itu menjadi putih dan lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, penyakitnya itu penyakit kulit yang mengerikan, yang bermula daripada kulit yang terbakar. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis.

26. Tetapi jika bulu roma pada radang itu tidak menjadi putih dan radang itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.

27. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika radang itu merebak, dia menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis.

28. Tetapi jika radang itu tidak berubah dan tidak merebak, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, radang itu bukan penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir; radang itu hanya bekas luka bakar.

29. Apabila seorang lelaki atau perempuan mempunyai kudis pada kepala atau dagunya,

30. imam harus memeriksa dia. Jika kudis itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan rambut atau janggut pada kudis itu kekuning-kuningan dan sedikit, orang itu menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis.

31. Jika imam yang memeriksanya mendapati kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi belum ada rambut atau janggut yang sihat di situ, imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari.

32. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa dia lagi dan jika kudis itu tidak merebak dan tidak ada rambut atau janggut yang kekuning-kuningan di situ, dan kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya,

33. orang itu harus mencukur rambut atau janggutnya, kecuali pada sekeliling kudis itu, dan imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari lagi.

34. Pada hari ketujuh, imam itu harus memeriksa kudis itu sekali lagi. Jika kudis itu tidak merebak, dan tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Orang itu harus mencuci pakaiannya, lalu dia akan tahir.

35. Tetapi jika kudis itu merebak setelah orang itu diumumkan tahir,

36. imam harus memeriksa dia sekali lagi. Jika kudis itu sudah merebak, imam tidak perlu mencari rambut atau janggut yang kekuning-kuningan padanya kerana orang itu sudah nyata najis.

37. Tetapi jika pada pendapat imam kudis itu tidak merebak, dan terdapat rambut atau janggut yang sihat pada bahagian itu, kudis itu sudah sembuh. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir.

38. Apabila terdapat radang putih pada kulit seorang lelaki ataupun perempuan,

39. imam harus memeriksa orang itu. Jika radang itu putih kabur, radang itu hanya ruam dan orang itu tahir.

40-41. Jika seseorang lelaki menjadi botak pada bahagian depan atau bahagian belakang kepalanya, orang itu tidak najis.

42. Tetapi jika pada tempat yang botak itu terdapat bintik yang putih kemerah-merahan, bintik itu penyakit kulit yang mengerikan.

43. Imam harus memeriksa orang itu, dan jika terdapat kudis yang putih kemerah-merahan,

44. imam harus mengumumkan bahawa dia najis, kerana kudis di kepalanya itu penyakit kulit yang mengerikan.

Imamat 13