Imamat 13:19-34 Alkitab Berita Baik (BM)

19. tetapi kemudian pada bekas bisul itu terdapat bengkak putih atau radang putih kemerah-merahan, orang itu harus menghadap imam.

20. Imam itu akan memeriksa dia, dan jika radang itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan bulu roma di situ sudah menjadi putih, imam itu akan mengumumkan bahawa orang itu najis. Penyakitnya itu penyakit kulit yang mengerikan yang sudah bermula pada bisul itu.

21. Tetapi jika imam memeriksa bisul itu dan mendapati bulu roma di situ tidak menjadi putih, dan bahagian itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, imam itu harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.

22. Jika radang itu merebak, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Orang itu menghidap penyakit kulit yang mengerikan.

23. Tetapi jika radang itu tidak berubah dan tidak merebak, radang itu hanya bekas daripada bisul, dan imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir.

24. Apabila kulit seseorang terbakar, lalu kulit pada luka itu menjadi putih atau putih kemerah-merahan,

25. imam harus memeriksa dia. Jika bulu roma pada radang itu menjadi putih dan lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, penyakitnya itu penyakit kulit yang mengerikan, yang bermula daripada kulit yang terbakar. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis.

26. Tetapi jika bulu roma pada radang itu tidak menjadi putih dan radang itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, imam harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari.

27. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika radang itu merebak, dia menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis.

28. Tetapi jika radang itu tidak berubah dan tidak merebak, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, radang itu bukan penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir; radang itu hanya bekas luka bakar.

29. Apabila seorang lelaki atau perempuan mempunyai kudis pada kepala atau dagunya,

30. imam harus memeriksa dia. Jika kudis itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan rambut atau janggut pada kudis itu kekuning-kuningan dan sedikit, orang itu menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis.

31. Jika imam yang memeriksanya mendapati kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi belum ada rambut atau janggut yang sihat di situ, imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari.

32. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa dia lagi dan jika kudis itu tidak merebak dan tidak ada rambut atau janggut yang kekuning-kuningan di situ, dan kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya,

33. orang itu harus mencukur rambut atau janggutnya, kecuali pada sekeliling kudis itu, dan imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari lagi.

34. Pada hari ketujuh, imam itu harus memeriksa kudis itu sekali lagi. Jika kudis itu tidak merebak, dan tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Orang itu harus mencuci pakaiannya, lalu dia akan tahir.

Imamat 13