Ibrani 9:17-28 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Surat wasiat tidak bererti apa-apa selagi orang yang membuatnya masih hidup. Surat itu berlaku hanya setelah orang itu meninggal.

18. Itulah sebabnya perjanjian pertama pun harus disahkan dengan darah.

19. Mula-mula Musa menyampaikan semua perintah dalam Taurat kepada umat Israel. Setelah itu dia mengambil darah lembu jantan dan darah kambing, lalu mencampurnya dengan air, kemudian memercikkannya pada kitab Taurat dan pada seluruh umat, dengan menggunakan setangkai rumput hisop dan bulu domba berwarna merah.

20. Musa berkata, “Inilah darah yang mengesahkan perjanjian daripada Allah yang harus kamu taati.”

21. Dengan cara yang sama, Musa juga memercikkan darah itu pada Khemah Tuhan dan pada semua alat untuk ibadat.

22. Sebenarnya, menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah.

23. Hal-hal yang melambangkan perkara-perkara di syurga, perlu disucikan dengan cara tersebut. Tetapi perkara-perkara di syurga itu memerlukan korban yang jauh lebih baik.

24. Kristus tidak masuk ke Bilik Suci buatan manusia, yang hanya melambangkan Bilik Suci sebenarnya. Tetapi Kristus masuk ke syurga; di sana Dia sekarang menghadap hadirat Allah sebagai wakil kita.

25. Setiap tahun Imam Agung Yahudi masuk ke dalam Bilik Maha Suci dengan membawa darah seekor binatang. Tetapi Kristus tidak masuk untuk mempersembahkan diri-Nya berulang kali;

26. kerana jika demikian, Dia harus menderita berulang kali sejak dunia ini dijadikan. Sebaliknya, sekarang pada zaman akhir ini Dia menunjukkan diri satu kali sahaja untuk selama-lamanya, bagi menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya sendiri.

27. Semua orang mesti mati satu kali, dan setelah itu dihakimi oleh Allah.

28. Demikian juga Kristus dipersembahkan sebagai korban satu kali sahaja untuk menghapuskan dosa banyak orang. Dia akan menunjukkan diri sekali lagi, bukan untuk menyelesaikan masalah dosa, tetapi untuk menyelamatkan orang yang menantikan Dia.

Ibrani 9