Ibrani 7:12-22 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah.

13. Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam.

14. Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam.

15. Hal yang dibincangkan itu menjadi lebih jelas sekarang: Seorang imam lain sudah datang, imam seperti Melkisedek.

16. Dia dilantik menjadi imam, tidak menurut hukum atau peraturan manusia, tetapi berdasarkan hidupnya yang berkuasa dan tidak berkesudahan.

17. Di dalam Alkitab tertulis, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.”

18. Oleh itu peraturan yang lama telah dibatalkan, kerana lemah dan tidak berguna.

19. Taurat Musa tidak dapat menyempurnakan sesuatu pun. Sekarang kita diberikan suatu harapan yang lebih baik, dan dengannya kita dapat mendekati Allah.

20. Tambahan pula, semua itu disertai sumpah daripada Allah. Apabila imam-imam lain dilantik, tidak ada sumpah seperti itu.

21. Tetapi Yesus diangkat menjadi imam dengan sumpah, ketika Allah berfirman kepada-Nya,“Tuhan sudah bersumpah,dan tidak akan mengubah fikiran,‘Engkau akan menjadi imam selama-lamanya.’ ”

22. Dengan sumpah itu, Yesus menjadi jaminan suatu perjanjian yang lebih baik.

Ibrani 7