Ibrani 6:7-17 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Allah memberkati tanah yang menghisap air hujan yang sering turun ke atasnya, lalu tanah itu menghasilkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang yang menanamnya.

8. Tetapi jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka tanah itu tidak berguna. Tanah itu akan dikutuk oleh Allah dan dimusnahkan oleh api.

9. Tetapi, saudara-saudara yang tercinta, meskipun kami berkata demikian, kami yakin akan kamu. Kami tahu bahawa kamu mempunyai berkat-berkat yang lebih baik, yang termasuk dalam penyelamatan kamu.

10. Allah bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya dengan menolong sesama saudara Kristian, baik dahulu mahupun sekarang.

11. Kami ingin sekali supaya setiap orang di kalangan kamu terus bergiat sehingga akhir, supaya segala perkara yang kamu harap-harapkan itu boleh kamu terima.

12. Kami tidak mahu kamu menjadi malas. Hiduplah seperti mereka yang menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah, kerana percaya kepada-Nya dan bersabar.

13. Ketika Allah berjanji kepada Abraham, Dia bersumpah bahawa Dia akan melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. Kerana tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi daripada Allah, Dia bersumpah demi nama-Nya sendiri.

14. Allah berfirman, “Aku berjanji akan memberkati engkau dan memberikan keturunan yang banyak kepadamu.”

15. Abraham bersabar. Oleh itu dia menerima apa yang dijanjikan oleh Allah.

16. Ketika seseorang bersumpah, dia menggunakan nama orang lain yang lebih tinggi kedudukannya daripada dia. Lalu sumpah itu menyelesaikan segala perselisihan.

17. Allah hendak meyakinkan orang yang akan menerima apa yang dijanjikan-Nya, bahawa Dia tidak sekali-kali akan mengubah maksud-Nya. Itulah sebabnya Dia menambah sumpah pada janji-Nya itu.

Ibrani 6