13. Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini.
14. Orang yang berkata demikian menunjukkan dengan jelas bahawa mereka sedang mencari negeri yang akan menjadi tanah air mereka.
15. Mereka tidak selalu memikirkan negeri yang sudah ditinggalkan. Jika mereka selalu memikirkannya, mereka berpeluang kembali ke negeri itu.
16. Sebaliknya, mereka merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga. Itulah sebabnya Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka.
17. Kerana beriman, Abraham mempersembahkan anaknya, Ishak, sebagai korban, ketika Allah menguji Abraham. Allah memberikan janji-Nya kepada Abraham, namun Abraham bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban.
18. Allah sudah berfirman kepadanya, “Melalui Ishak engkau akan beroleh keturunan yang Aku janjikan.”
19. Abraham yakin bahawa Allah berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian. Oleh itu boleh dikatakan, Abraham sudah menerima Ishak kembali daripada kematian.
20. Kerana beriman, Ishak menjanjikan berkat untuk masa depan bagi Yakub dan Esau.
21. Kerana beriman, Yakub memberkati setiap anak Yusuf sebelum Yakub meninggal. Yakub bersandar pada kepala tongkatnya dan menyembah Allah.
22. Kerana beriman, Yusuf ketika hampir meninggal berkata tentang keluarnya orang Israel dari Mesir. Dia juga berpesan tentang apa yang harus dilakukan dengan jenazahnya.
23. Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan dia selama tiga bulan setelah dia lahir. Mereka melihat bahawa Musa bayi yang comel, dan mereka tidak takut menentang titah raja.
24. Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir.
25. Musa lebih suka menderita bersama-sama umat Allah daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu.
26. Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.
27. Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir tanpa berasa takut akan kemurkaan raja. Musa tidak mahu berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Allah yang tidak kelihatan itu.
28. Kerana beriman, Musa memulakan Paska dan memberikan perintah supaya darah dipercikkan pada pintu, agar Malaikat Maut tidak membunuh anak laki-laki sulung orang Israel.