1. Taurat orang Yahudi bukanlah gambaran lengkap dan sempurna tentang perkara-perkara yang sebenarnya, tetapi hanya bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang. Tahun demi tahun korban yang sama dipersembahkan. Bagaimanakah Taurat, melalui korban-korban ini dapat menyempurnakan orang yang datang menyembah Allah?
2. Jika orang yang menyembah Allah benar-benar telah disucikan daripada dosa, mereka tidak akan berasa bersalah lagi, dan korban tidak perlu dipersembahkan lagi.
3. Tetapi nyatanya, korban-korban yang dipersembahkan tahun demi tahun itu mengingatkan orang akan dosa mereka.
4. Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa.
5. Itulah sebabnya pada masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah,“Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan,tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku.
6. Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu,ataupun korban untuk menghapuskan dosa.
7. Lalu Aku berkata, ‘Inilah Aku, ya Allah,Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu,seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku.’ ”
8. Mula-mula Kristus berkata, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.” Dia berkata demikian meskipun segala korban itu dipersembahkan menurut Taurat.
9. Setelah itu Dia berkata, “Inilah Aku, ya Allah. Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” Oleh itu, Allah meniadakan segala korban yang lama itu, lalu menggantikannya dengan korban Kristus.
10. Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa.