Hosea 9:6-17 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Apabila malapetaka tiba dan rakyat tercerai-cerai, orang Mesir akan mengumpulkan kamu untuk dibunuh dan untuk dikuburkan di Memfis! Harta kamu daripada perak dan tempat rumah kamu dahulu akan diliputi rumput dan semak berduri.

7. Masa penghukuman telah tiba, masa untuk menerima pembalasan. Israel akan tahu apabila perkara ini berlaku. Kamu berkata, “Nabi ini bodoh. Utusan Allah ini gila.” Kamu begitu membenci aku kerana dosa kamu sangat besar.

8. Allah telah mengutus aku sebagai nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya Israel. Namun ke mana sahaja aku pergi, kamu berusaha untuk memerangkap aku seperti memerangkap burung. Di negeri milik Allah sendiri, nabi-nabi-Nya dimusuhi rakyat.

9. Perbuatan kamu sangat jahat, seperti yang pernah dilakukan orang di Gibea. TUHAN akan mengingat dosa kamu dan menghukum kamu.

10. TUHAN berfirman, “Ketika Aku mula-mula menemukan Israel, Aku gembira seperti orang menemukan buah anggur di padang gurun. Apabila Aku mula-mula nampak nenek moyang kamu, Aku senang hati seperti orang nampak buah ara yang mula-mula masak pada musim buah. Tetapi apabila mereka sampai di Gunung Peor, mereka mula menyembah Baal, sehingga mereka menjijikkan seperti berhala-berhala yang dicintai mereka.

11. Kebesaran Israel akan terbang menghilang seperti burung. Mereka tidak akan mendapat anak lagi. Wanita mereka pun tidak akan mengandung lagi.

12. Sekalipun anak-anak dilahirkan dan dibesarkan, Aku akan mengambil anak-anak mereka itu dan tidak seorang pun akan hidup. Apabila Aku meninggalkan kamu, perkara-perkara yang dahsyat akan menimpa kamu.”

13. Ya TUHAN, aku nampak anak-anak mereka diburu dan dibunuh.

14. Apakah yang harus aku minta daripada-Mu untuk umat ini? Jadikanlah wanita mereka mandul! Biarlah mereka tidak dapat menyusui bayi.

15. TUHAN berfirman, “Segala kejahatan mereka itu bermula di Gilgal. Di sanalah Aku mula membenci mereka. Aku akan mengusir mereka dari negeri-Ku kerana kejahatan yang dilakukan mereka. Aku tidak mengasihi mereka lagi. Semua pemimpin mereka telah memberontak terhadap Aku.

16. Orang Israel seperti pokok yang tidak berbuah dan akarnya telah kering. Mereka tidak akan melahirkan anak. Sekalipun mereka mempunyai anak, Aku akan membunuh anak-anak yang dikasihi mereka.”

17. Allah yang aku sembah akan menolak umat-Nya, kerana mereka tidak mendengarkan Dia. Mereka akan menjadi perantau di kalangan bangsa-bangsa.

Hosea 9