Hakim-Hakim 9:4-12 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Mereka memberi Abimelekh tujuh puluh keping perak dari kuil Baal-Berit. Dengan wang itu Abimelekh mengupah segerombolan orang jahat untuk bergabung dengannya.

5. Selepas itu dia pergi ke rumah bapanya di Ofra. Di sana, di atas sebuah batu dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon, saudara-saudaranya itu. Tetapi Yotam, anak bongsu Gideon, menyembunyikan diri sehingga tidak terbunuh.

6. Kemudian penduduk Sikhem dan Bet-Milo berkumpul. Mereka pergi ke bawah pokok oak, iaitu pokok keramat di Sikhem, lalu menabalkan Abimelekh menjadi raja.

7. Apabila Yotam mendengar hal itu, dia berdiri di puncak Gunung Gerizim lalu berseru kepada mereka, “Dengarkan perkataanku, hai penduduk Sikhem, supaya Allah pun mendengarkan kamu!

8. Pada suatu masa, pokok-pokok berkumpul untuk memilih salah satu di kalangan mereka sebagai raja. Mereka berkata kepada pokok zaitun, ‘Jadilah raja kami.’

9. Pokok zaitun menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan minyak yang digunakan untuk menghormati dewa dan manusia, semata-mata untuk memerintah kamu.’

10. Kemudian pokok-pokok itu berkata kepada pokok ara, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’

11. Tetapi pokok ara itu menjawab, ‘Aku tidak dapat berhenti menghasilkan buah yang manis, semata-mata untuk memerintah kamu.’

12. Oleh sebab itu, pokok-pokok itu berkata kepada pokok anggur, ‘Kamu sajalah yang menjadi raja kami.’

Hakim-Hakim 9