Hakim-Hakim 8:9-25 Alkitab Berita Baik (BM)

9. Oleh itu Gideon berkata kepada mereka, “Aku akan pulang dengan selamat. Pada masa itu aku akan merobohkan menara kota ini!”

10. Pada masa itu, Zebah dan Salmuna berada di Karkor dengan seluruh tentera mereka. Daripada segenap tentera orang padang gurun itu, cuma kira-kira 15,000 orang yang masih ada; 120,000 orang telah dibunuh.

11. Gideon menyusuri sempadan padang gurun di sebelah timur Nobah dan Yogbeha, lalu menyerang tentera musuh secara mendadak.

12. Zebah dan Salmuna, dua orang raja Midian itu lari. Tetapi Gideon mengejar dan menangkap mereka, sehingga seluruh tentera musuh cemas.

13. Selepas itu Gideon kembali dari peperangan melalui Genting Heres.

14. Di tengah jalan Gideon menangkap seorang pemuda dari Sukot lalu memintanya memberikan nama para pemimpin kota itu. Pemuda itu menuliskan nama 77 orang pemimpin kota Sukot untuk Gideon.

15. Selepas itu Gideon pergi kepada para pemimpin itu dan berkata, “Ingatkah kamu bahawa kamu tidak mahu menolong aku dahulu? Kamu tidak mahu memberikan makanan kepada askar-askarku yang letih, kerana kamu berkata aku belum menangkap Zebah dan Salmuna. Nah, inilah mereka!”

16. Kemudian Gideon mengambil duri dan onak dari padang gurun, lalu menggunakannya untuk menghukum para pemimpin Sukot.

17. Gideon juga merobohkan menara kota Penuel dan membunuh semua orang lelaki di kota itu.

18. Selepas itu Gideon bertanya kepada Zebah dan Salmuna, “Bagaimanakah rupa orang yang kamu bunuh di Tabor itu?”Mereka menjawab, “Rupa mereka mirip kamu, seperti keturunan bangsawan.”

19. Gideon berkata, “Mereka saudaraku, anak-anak ibuku. Aku bersumpah bahawa jika kamu tidak membunuh mereka, aku pun tidak akan membunuh kamu.”

20. Kemudian Gideon berkata kepada Yeter, anak sulungnya yang lelaki, “Bunuhlah mereka!” Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda.

21. Zebah dan Salmuna berkata kepada Gideon, “Ayuh, kalau engkau lelaki, bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri!” Oleh itu Gideon membunuh mereka, lalu mengambil semua perhiasan yang ada pada leher unta mereka.

22. Selepas itu umat Israel berkata kepada Gideon, “Tuan telah menyelamatkan kami daripada kekuasaan orang Midian. Sekarang hendaklah tuan menjadi pemimpin kami - tuan dan keturunan tuan.”

23. Gideon menjawab, “Saya tidak akan menjadi pemimpin kamu; anak saya pun tidak. TUHAN yang menjadi pemimpin kamu.”

24. Tetapi Gideon berkata lagi, “Hanya satu permintaan saya. Hendaklah kamu memberi saya anting-anting yang telah kamu rampas daripada musuh.” (Orang Midian seperti bangsa-bangsa lain yang tinggal di padang gurun, semuanya beranting-anting emas.)

25. Umat Israel menjawab, “Kami rela memberikannya kepada tuan.” Mereka membentangkan sehelai kain, lalu tiap-tiap orang meletakkan anting-anting yang telah dirampasnya di situ.

Hakim-Hakim 8