4. Pada masa itu Gideon bersama dengan tiga ratus orang anak buahnya telah sampai ke Sungai Yordan dan telah menyeberanginya. Mereka letih sekali, tetapi mereka masih terus mengejar musuh.
5. Kemudian mereka sampai di Sukot. Di situ Gideon berkata kepada penduduk kota Sukot, “Tolonglah beri anak buahku sedikit makanan. Mereka letih sekali, sedangkan kami masih mengejar Zebah dan Salmuna, raja-raja Midian itu.”
6. Tetapi pemimpin-pemimpin kota Sukot berkata, “Mengapa kami harus memberi tenteramu makanan? Kamu belum lagi menangkap Zebah dan Salmuna!”
7. Oleh itu Gideon berkata, “Baiklah! Apabila TUHAN menyerahkan Zebah dan Salmuna kepadaku, aku akan mencambuk tubuh kamu dengan duri dan onak dari padang gurun!”
8. Kemudian Gideon meneruskan perjalanannya ke Penuel. Di Penuel dia minta tolong kepada penduduk kota itu, tetapi jawapan penduduk kota itu sama seperti jawapan orang Sukot.
9. Oleh itu Gideon berkata kepada mereka, “Aku akan pulang dengan selamat. Pada masa itu aku akan merobohkan menara kota ini!”
10. Pada masa itu, Zebah dan Salmuna berada di Karkor dengan seluruh tentera mereka. Daripada segenap tentera orang padang gurun itu, cuma kira-kira 15,000 orang yang masih ada; 120,000 orang telah dibunuh.
11. Gideon menyusuri sempadan padang gurun di sebelah timur Nobah dan Yogbeha, lalu menyerang tentera musuh secara mendadak.
12. Zebah dan Salmuna, dua orang raja Midian itu lari. Tetapi Gideon mengejar dan menangkap mereka, sehingga seluruh tentera musuh cemas.
13. Selepas itu Gideon kembali dari peperangan melalui Genting Heres.
14. Di tengah jalan Gideon menangkap seorang pemuda dari Sukot lalu memintanya memberikan nama para pemimpin kota itu. Pemuda itu menuliskan nama 77 orang pemimpin kota Sukot untuk Gideon.