Hakim-Hakim 6:28-38 Alkitab Berita Baik (BM)

28. Ketika penduduk kota itu bangun esok paginya, mereka mendapati bahawa mazbah Baal dan tiang lambang Dewi Asyera telah dirobohkan. Mereka nampak juga bahawa di tempat itu telah dibina sebuah mazbah, dan lembu jantan itu telah dibakar sebagai korban.

29. Mereka bertanya satu sama lain, “Perbuatan siapakah ini?” Mereka menyiasat lalu mengetahui bahawa Gideon anak Yoas telah melakukannya.

30. Kemudian mereka berkata kepada Yoas, “Bawalah anakmu ke mari supaya kami dapat membunuh dia! Dia telah membongkar mazbah Baal dan merobohkan tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu.”

31. Tetapi Yoas berkata kepada semua orang yang mencabar dia, “Adakah kamu memihak Baal? Adakah kamu mahu membela dia? Sesiapa yang membela Baal akan dibunuh pada hari ini. Jika Baal itu memang tuhan, biarlah dia membela dirinya sendiri, kerana yang dibongkar itu mazbahnya.”

32. Sejak itu orang menamakan Gideon “Yerubaal”, kerana Yoas berkata, “Biarlah Baal membela dirinya sendiri kerana yang dibongkar itu mazbahnya.”

33. Kemudian semua orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain di padang gurun berkumpul. Mereka menyeberang Sungai Yordan lalu berkhemah di Lembah Yizreel.

34. Roh TUHAN menguasai Gideon, dan Gideon meniup trompet untuk memanggil orang daripada puak Abiezer supaya mengikut dia.

35. Gideon juga mengirim utusan-utusan kepada kedua-dua wilayah suku Manasye untuk memanggil mereka mengikut dia. Gideon juga mengirim utusan kepada suku Asyer, Zebulon, dan Naftali. Kemudian mereka juga datang bergabung dengan Gideon.

36. Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.

37. Sekarang aku meletakkan guntingan bulu domba ini di atas tanah tempat kami mengirik gandum. Jika esok pagi embun hanya terdapat pada guntingan bulu domba ini dan tidak terdapat di atas tanah, maka itulah buktinya bahawa sesungguhnya Engkau mahu menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.”

38. Esok paginya, perkara itu benar-benar terjadi. Apabila Gideon bangun pagi-pagi, dia memeras guntingan bulu domba itu dan mendapat air embun sebanyak satu cawan.

Hakim-Hakim 6