17. Gideon berkata, “Jika aku betul-betul diperkenan oleh Tuhan, berilah aku bukti bahawa TUHAN yang memberikan perintah itu kepada aku.
18. Tolong jangan pergi sebelum aku membawa persembahan untuk Tuhan.”Dia menjawab, “Aku akan menunggu sehingga engkau kembali.”
19. Oleh itu Gideon pulang ke rumah lalu memasak seekor kambing muda. Dia juga mengambil sepuluh kilogram tepung, kemudian membuat roti yang tidak beragi. Dia meletakkan daging itu di dalam bakul dan kuahnya di dalam belanga, lalu membawa semua itu dan menghidangnya kepada malaikat yang sedang menunggu di bawah pokok oak.
20. Malaikat TUHAN berkata kepadanya, “Letakkanlah daging dan roti itu di atas batu ini dan tuanglah kuah daging itu ke atas semuanya.” Gideon berbuat demikian.
21. Kemudian malaikat TUHAN menghulurkan kayu yang dipegangnya, dan menyentuh daging dan roti dengan hujung kayu itu. Batu itu menyala lalu menghanguskan daging dan roti itu. Kemudian malaikat itu hilang dari pandangan.
22. Gideon menyedari bahawa yang telah datang kepadanya itu malaikat TUHAN. Dengan takut Gideon berkata, “Ya TUHAN Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!”
23. Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, “Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati.”
24. Gideon membina sebuah mazbah untuk TUHAN di sana dan menamakannya “TUHAN Sumber Kesejahteraan”. Sampai sekarang mazbah itu masih ada di Ofra, kota milik puak Abiezer.
25. Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Ambillah seekor lembu jantan milik bapamu, iaitu lembu jantan yang terbaik yang berumur tujuh tahun. Bongkarlah mazbah yang dibina oleh bapamu untuk Baal, dan robohlah tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu.
26. Binalah sebuah mazbah yang batunya disusun dengan baik di atas timbunan itu; mazbah itu bagi TUHAN, Allahmu. Kemudian ambillah lembu itu dan bakarlah seluruhnya sebagai korban. Gunakanlah tiang lambang Dewi Asyera yang telah engkau robohkan itu sebagai kayu api.”
27. Kemudian Gideon memilih sepuluh orang hambanya, lalu pergi melakukan apa yang diperintahkan TUHAN. Oleh sebab dia takut terhadap keluarganya dan penduduk kota itu, dia tidak berani melakukannya pada siang hari. Dia melakukannya pada waktu malam.
28. Ketika penduduk kota itu bangun esok paginya, mereka mendapati bahawa mazbah Baal dan tiang lambang Dewi Asyera telah dirobohkan. Mereka nampak juga bahawa di tempat itu telah dibina sebuah mazbah, dan lembu jantan itu telah dibakar sebagai korban.
29. Mereka bertanya satu sama lain, “Perbuatan siapakah ini?” Mereka menyiasat lalu mengetahui bahawa Gideon anak Yoas telah melakukannya.
30. Kemudian mereka berkata kepada Yoas, “Bawalah anakmu ke mari supaya kami dapat membunuh dia! Dia telah membongkar mazbah Baal dan merobohkan tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu.”