7. Apakah yang harus kita lakukan untuk mendapatkan isteri bagi suku Benyamin yang tinggal itu? Kita telah bersumpah kepada TUHAN bahawa kita tidak akan membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka.”
8. Apabila mereka bertanya sama ada masih ada puak di kalangan segenap umat Israel yang tidak ikut beribadat kepada TUHAN di Mizpa, mereka mendapati bahawa tidak seorang pun daripada puak Yabes di Gilead pergi ke Mizpa.
9. Ketika diperiksa daftar kehadiran, maka didapati bahawa tiada seorang pun dari Yabes yang hadir.
10. Oleh sebab itu, orang yang berkumpul di Betel itu mengirim 12,000 orang yang paling berani ke Yabes, dengan perintah, “Bunuhlah setiap orang di Yabes, termasuk kaum wanita dan kanak-kanak.
11. Bunuhlah semua kaum lelaki dan setiap perempuan yang bukan dara.”
12. Daripada puak yang tinggal di Yabes itu, mereka mendapati 400 orang dara yang masih muda. Mereka membawa semua anak dara itu ke perkhemahan di Silo, di tanah Kanaan.
13. Setelah itu segenap umat Israel mengirim utusan kepada suku Benyamin yang di gunung-gunung batu di Rimon untuk menawarkan perdamaian.
14. Dengan itu suku Benyamin pun kembali, lalu umat Israel memberi mereka anak-anak dara dari Yabes yang tidak dibunuh untuk menjadi isteri mereka. Tetapi bilangannya tidak cukup.
15. Umat Israel kasihan terhadap suku Benyamin kerana TUHAN telah meretakkan kesatuan suku-suku Israel.
16. Oleh sebab itu para pemimpin di perhimpunan itu berkata, “Tidak ada lagi perempuan dalam suku Benyamin. Apakah yang harus kita lakukan supaya kaum lelaki yang masih tinggal ini mendapat isteri?
17. Jangan sampai Israel kehilangan satu pun daripada dua belas sukunya. Kita mesti mencari jalan supaya suku Benyamin dapat mempunyai keturunan dan tetap mewarisi seluruh tanahnya;
18. tetapi kita tidak boleh membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka, kerana kita telah mengutuk sesiapa saja yang membenarkan orang Benyamin mengahwini anak perempuan kita.”
19. Kemudian mereka teringat bahawa perayaan tahunan bagi TUHAN yang diadakan di Silo sudah hampir. (Silo terletak di sebelah utara Betel, di sebelah selatan Lebona dan di sebelah timur jalan di antara Betel dan Sikhem).