Hakim-Hakim 21:11-23 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Bunuhlah semua kaum lelaki dan setiap perempuan yang bukan dara.”

12. Daripada puak yang tinggal di Yabes itu, mereka mendapati 400 orang dara yang masih muda. Mereka membawa semua anak dara itu ke perkhemahan di Silo, di tanah Kanaan.

13. Setelah itu segenap umat Israel mengirim utusan kepada suku Benyamin yang di gunung-gunung batu di Rimon untuk menawarkan perdamaian.

14. Dengan itu suku Benyamin pun kembali, lalu umat Israel memberi mereka anak-anak dara dari Yabes yang tidak dibunuh untuk menjadi isteri mereka. Tetapi bilangannya tidak cukup.

15. Umat Israel kasihan terhadap suku Benyamin kerana TUHAN telah meretakkan kesatuan suku-suku Israel.

16. Oleh sebab itu para pemimpin di perhimpunan itu berkata, “Tidak ada lagi perempuan dalam suku Benyamin. Apakah yang harus kita lakukan supaya kaum lelaki yang masih tinggal ini mendapat isteri?

17. Jangan sampai Israel kehilangan satu pun daripada dua belas sukunya. Kita mesti mencari jalan supaya suku Benyamin dapat mempunyai keturunan dan tetap mewarisi seluruh tanahnya;

18. tetapi kita tidak boleh membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka, kerana kita telah mengutuk sesiapa saja yang membenarkan orang Benyamin mengahwini anak perempuan kita.”

19. Kemudian mereka teringat bahawa perayaan tahunan bagi TUHAN yang diadakan di Silo sudah hampir. (Silo terletak di sebelah utara Betel, di sebelah selatan Lebona dan di sebelah timur jalan di antara Betel dan Sikhem).

20. Kemudian para pemimpin itu berkata kepada orang Benyamin yang tinggal itu, “Bersembunyilah di ladang-ladang anggur di Silo

21. dan tunggulah di sana. Apabila anak-anak gadis Silo datang untuk menari pada perayaan itu, keluarlah dari ladang-ladang anggur itu, lalu masing-masing mengambil gadis-gadis itu secara paksa. Jadikanlah mereka isteri kamu dan bawalah mereka pulang ke wilayah Benyamin.

22. Jika bapa atau saudara lelaki mereka datang dan membantah, kamu boleh mengatakan, ‘Benarkanlah kami mengambil anak-anak gadis kamu itu untuk menjadi isteri kami, kerana kami tidak merampas mereka dalam peperangan. Lagi pula kamu tidak memberikan mereka kepada kami. Dengan itu kamu tidak bersalah, kerana kamu tidak melanggar sumpah.’ ”

23. Suku Benyamin pun berbuat demikian. Masing-masing memilih seorang isteri antara gadis-gadis yang menari di Silo, lalu membawa mereka pulang. Selepas itu mereka balik ke wilayah masing-masing dan membina semula kota-kota mereka serta tinggal di sana.

Hakim-Hakim 21