1. Pada waktu umat Israel berkumpul di Mizpa, mereka mengangkat sumpah. Mereka berkata, “Tiada seorang pun daripada kami akan membenarkan anak-anak perempuan kami berkahwin dengan orang Benyamin.”
2. Sekarang umat Israel pergi ke Betel lalu duduk di hadapan Allah sehingga malam. Mereka menangis serta berseru,
3. “Ya TUHAN, Allah Israel, mengapakah perkara ini terjadi? Mengapakah Israel harus kehilangan suku Benyamin?”
4. Esok paginya, mereka membina sebuah mazbah di sana. Mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.
5. Kemudian mereka bertanya, “Adakah puak-puak antara segenap umat Israel yang tidak ikut beribadat kepada TUHAN di Mizpa dahulu?” (Umat Israel telah bersumpah bahawa sesiapa yang tidak pergi ke Mizpa pada masa itu mesti dihukum mati).
6. Mereka kasihan terhadap suku Benyamin lalu berkata, “Pada hari ini umat Israel telah kehilangan satu daripada sukunya.
7. Apakah yang harus kita lakukan untuk mendapatkan isteri bagi suku Benyamin yang tinggal itu? Kita telah bersumpah kepada TUHAN bahawa kita tidak akan membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka.”
8. Apabila mereka bertanya sama ada masih ada puak di kalangan segenap umat Israel yang tidak ikut beribadat kepada TUHAN di Mizpa, mereka mendapati bahawa tidak seorang pun daripada puak Yabes di Gilead pergi ke Mizpa.
9. Ketika diperiksa daftar kehadiran, maka didapati bahawa tiada seorang pun dari Yabes yang hadir.
10. Oleh sebab itu, orang yang berkumpul di Betel itu mengirim 12,000 orang yang paling berani ke Yabes, dengan perintah, “Bunuhlah setiap orang di Yabes, termasuk kaum wanita dan kanak-kanak.
11. Bunuhlah semua kaum lelaki dan setiap perempuan yang bukan dara.”
12. Daripada puak yang tinggal di Yabes itu, mereka mendapati 400 orang dara yang masih muda. Mereka membawa semua anak dara itu ke perkhemahan di Silo, di tanah Kanaan.