33. Apabila tentera umat Israel telah undur dan berkumpul semula di Baal-Tamar, askar-askar mereka yang ditempatkan di sekitar Gibea itu tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian di kawasan berbatu di sekeliling kota.
34. Mereka itu askar yang terpilih dari seluruh Israel; jumlahnya 10,000 orang. Kemudian terjadilah satu pertempuran yang sengit ketika 10,000 orang itu menyerang Gibea. Orang Benyamin sama sekali tidak menyangka bahawa mereka tidak lama lagi akan kalah.
35. TUHAN memberi umat Israel kemenangan atas tentera Benyamin. Pada hari itu umat Israel membunuh 25,100 orang askar Benyamin.
36. Barulah orang Benyamin sedar bahawa mereka telah kalah.Sebahagian besar daripada tentera Israel dengan sengaja telah mengundurkan diri daripada tentera Benyamin. Mereka berharap kepada askar-askar di tempat-tempat persembunyian di sekitar Gibea.
37. Askar-askar yang bersembunyi itu cepat-cepat masuk menyerang kota Gibea dan membunuh semua orang yang di dalam kota itu.
38. Induk tentera telah bermuafakat dengan pasukan yang bersembunyi, bahawa apabila mereka nampak asap yang tebal naik dari kota itu,
39. induk tentera harus berbalik dan menyerang musuh. Pada saat itu tentera Benyamin telah membunuh 30 orang askar Israel. Mereka berfikir, “Kami telah mengalahkan mereka seperti yang sudah-sudah.”
40. Tetapi tiba-tiba asap yang tebal mengepul naik dari tengah-tengah kota itu. Orang Benyamin terperanjat apabila mereka menoleh ke belakang dan nampak seluruh kota mereka terbakar.
41. Ketika itu juga tentera Israel balik menyerang mereka, lalu keadaan tentera Benyamin menjadi kacau-bilau. Mereka sedar bahawa mereka akan kalah.
42. Mereka mengundurkan diri daripada tentera Israel lalu lari ke arah padang gurun tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan diri. Mereka dikepung oleh induk tentera Israel dan pasukan askar yang pada saat itu sedang keluar dari kota. Orang Benyamin menderita kekalahan yang amat teruk.
43. Tentera Israel mengepung dan mengejar tentera Benyamin terus-menerus sampai ke suatu tempat di sebelah timur Gibea. Sambil mengejar, mereka membunuh
44. 18,000 orang askar Benyamin yang gagah perkasa.
45. Tentera Benyamin yang lain balik lalu lari ke arah padang gurun, ke gunung-gunung batu di Rimon. Sebanyak 5,000 orang daripada mereka dibunuh di tengah jalan. Tentera Israel masih mengejar askar-askar Benyamin sampai ke Gidom dan 2,000 orang daripada mereka terbunuh.
46. Sejumlah 25,000 orang askar Benyamin dibunuh pada hari itu, semuanya gagah berani.