19. Umat Israel berangkat esok paginya dan berkhemah dekat kota Gibea.
20. Mereka pergi menyerang tentera Benyamin, dan menempatkan angkatan perang berhadapan dengan kota itu.
21. Tentera Benyamin keluar dari kota Gibea, lalu menyerang dan membunuh 22,000 orang askar Israel pada hari itu.
22-23. Oleh sebab kekalahan itu, umat Israel pergi lagi ke tempat ibadat dan menangis di hadapan TUHAN sehingga malam. Mereka bertanya lagi kepada Allah, “Haruskah kami berperang lagi dengan orang Benyamin, saudara kami itu?”TUHAN berfirman, “Ya.”Oleh itu semangat orang Israel bangkit semula dan mereka mengatur barisan mereka seperti pada hari pertama.
24. Mereka pergi menyerang tentera Benyamin untuk kali kedua.
25. Untuk kali kedua pula orang Benyamin keluar dari Gibea lalu menyerang orang Israel. Kali ini mereka membunuh 18,000 orang askar Israel yang terlatih.
26. Sekali lagi umat Israel pergi ke Betel dan menangis di hadapan TUHAN. Mereka berpuasa di sana sehingga malam. Mereka mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
27-28. Pada masa itu Tabut Perjanjian Allah terletak di Betel, dan Pinehas anak Eleazar, cucu Harun bertugas sebagai imam. Kemudian umat Israel bertanya kepada TUHAN, “Haruskah kami berperang lagi dengan suku Benyamin, saudara kami itu? Atau haruskah kami menghentikan pertempuran ini?”TUHAN menjawab, “Berperanglah! Esok Aku akan memberi kamu kemenangan atas mereka.”
29. Setelah mendengar jawapan itu, umat Israel menempatkan askar-askar mereka di sekitar Gibea untuk menyerang hendap.
30. Pada hari yang ketiga mereka menyerang tentera Benyamin, sambil mengatur barisan menghadap Gibea seperti yang dilakukan pada hari-hari sebelumnya.
31. Orang Benyamin keluar untuk berperang dan mereka diumpan supaya menjauhi kota. Seperti yang sudah-sudah, mereka mula membunuh askar-askar Israel di kawasan terbuka di luar kota pada jalan yang menuju ke Betel dan Gibea. Mereka membunuh kira-kira tiga puluh orang Israel.
32. Oleh itu orang Benyamin berkata, “Kami telah mengalahkan umat Israel seperti yang sudah-sudah.”Padahal umat Israel sengaja mengundurkan diri untuk mengumpan askar-askar Benyamin ke jalan-jalan di luar kota.
33. Apabila tentera umat Israel telah undur dan berkumpul semula di Baal-Tamar, askar-askar mereka yang ditempatkan di sekitar Gibea itu tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian di kawasan berbatu di sekeliling kota.
34. Mereka itu askar yang terpilih dari seluruh Israel; jumlahnya 10,000 orang. Kemudian terjadilah satu pertempuran yang sengit ketika 10,000 orang itu menyerang Gibea. Orang Benyamin sama sekali tidak menyangka bahawa mereka tidak lama lagi akan kalah.
35. TUHAN memberi umat Israel kemenangan atas tentera Benyamin. Pada hari itu umat Israel membunuh 25,100 orang askar Benyamin.
36. Barulah orang Benyamin sedar bahawa mereka telah kalah.Sebahagian besar daripada tentera Israel dengan sengaja telah mengundurkan diri daripada tentera Benyamin. Mereka berharap kepada askar-askar di tempat-tempat persembunyian di sekitar Gibea.
37. Askar-askar yang bersembunyi itu cepat-cepat masuk menyerang kota Gibea dan membunuh semua orang yang di dalam kota itu.
38. Induk tentera telah bermuafakat dengan pasukan yang bersembunyi, bahawa apabila mereka nampak asap yang tebal naik dari kota itu,
39. induk tentera harus berbalik dan menyerang musuh. Pada saat itu tentera Benyamin telah membunuh 30 orang askar Israel. Mereka berfikir, “Kami telah mengalahkan mereka seperti yang sudah-sudah.”
40. Tetapi tiba-tiba asap yang tebal mengepul naik dari tengah-tengah kota itu. Orang Benyamin terperanjat apabila mereka menoleh ke belakang dan nampak seluruh kota mereka terbakar.