1. Segenap umat Israel dari Dan di sebelah utara, sampai ke Bersyeba di sebelah selatan, dan juga dari Gilead di sebelah timur, menyahut panggilan itu. Mereka berkumpul sebagai satu umat di hadapan TUHAN di Mizpa.
2. Semuanya 400,000 orang askar bersenjata yang menjadi pasukan berjalan kaki. Para pemimpin daripada setiap suku Israel turut hadir di perhimpunan umat Allah itu.
3. Sementara itu orang suku Benyamin mendengar bahawa segenap umat Israel yang lain telah berkumpul di Mizpa.Umat Israel berkata, “Ceritakanlah bagaimana jenayah itu terjadi.”
4. Orang Lewi yang gundiknya terbunuh itu menjawab, “Saya dengan gundik saya singgah dan bermalam di Gibea, di wilayah Benyamin.
5. Tiba-tiba penduduk Gibea datang mencari saya pada waktu malam. Mereka mengepung rumah itu kerana hendak membunuh saya. Tetapi kemudian mereka memperkosa gundik saya sehingga dia meninggal.
6. Saya mengambil mayatnya dan memotong-motongnya, lalu mengirimnya kepada dua belas suku Israel, masing-masing satu potong. Saya melakukan hal itu kerana orang Gibea telah melakukan perbuatan jahat dan memalukan di tengah-tengah umat Israel.
7. Semua yang hadir di sini orang Israel. Sekarang, katakanlah apa yang harus kita lakukan.”
8. Semua orang yang berkumpul di situ berdiri, lalu dengan serentak mereka berkata, “Tidak seorang pun daripada kita akan pulang ke khemah atau ke rumah.
9. Inilah yang akan kita lakukan: Kita akan mengundi untuk menentukan orang yang harus menyerang Gibea.
10. Sepuluh peratus daripada jumlah lelaki Israel harus menyediakan makanan untuk askar-askar yang pergi bertempur. Sedangkan yang lainnya harus menghukum Gibea kerana kejahatan yang telah dilakukan mereka antara umat Israel.”
11. Demikianlah umat Israel bersatu untuk menyerang kota itu.