Hakim-Hakim 18:20-31 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Pemuda Lewi itu sangat suka dengan cadangan itu. Oleh itu dia mengambil efod dan patung-patung berhala itu lalu mengikut mereka.

21. Kemudian rombongan itu meneruskan perjalanan, didahului oleh kanak-kanak, ternakan, dan barang-barang mereka.

22. Setelah mereka berjalan agak jauh, barulah Mikha mengajak jiran-jirannya mengejar orang suku Dan itu. Apabila sudah dekat dengan mereka,

23. Mikha dan semua orangnya berteriak-teriak kepada mereka. Orang suku Dan berpaling lalu bertanya kepada Mikha, “Apa halnya? Mengapa kamu datang dengan begitu banyak orang?”

24. Mikha menjawab, “Kamu telah mengambil imamku dan patung-patung yang aku buat. Aku tidak mempunyai apa-apa lagi, lalu kamu berkata, ‘Apa halnya?’ ”

25. Orang suku Dan berkata kepadanya, “Diamlah! Jika tidak, semua orang ini akan marah dan menyerang kamu. Nanti kamu dan seluruh keluargamu akan mati.”

26. Setelah mengatakan begitu, mereka meneruskan perjalanan. Mikha melihat bahawa orang suku Dan lebih kuat daripada dia, lalu dia pulang ke rumahnya.

27-28. Setelah orang suku Dan mendapat imam dan barangan ibadat buatan Mikha itu, mereka pergi menyerang Lais, kota orang yang aman dan sejahtera. (Kota itu terletak di lembah yang sama dengan kota Bet-Rehob.) Orang suku Dan membunuh semua penduduknya dan membakar kota itu. Tiada seorang pun yang menyelamatkan penduduk kota itu, kerana Lais terletak jauh dari Sidon dan mereka pun tidak mempunyai perhubungan dengan sesiapa pun. Kemudian orang suku Dan membina kota itu semula, lalu mereka tinggal di sana.

29. Mereka menukar nama kota itu menjadi Dan, menurut nama nenek moyang mereka, Dan anak Yakub.

30. Di kota itu mereka mendirikan patung berhala yang dibawa mereka itu. Kemudian mereka melantik Yonatan anak Gersom, cucu Musa sebagai imam mereka. Keturunan Gersom pun menjadi imam suku Dan sehingga masa umat Israel ditawan dan dibuang ke negeri lain.

31. Patung berhala buatan Mikha itu tetap ada di Lais selama Khemah TUHAN, tempat beribadat kepada Allah, terletak di Silo.

Hakim-Hakim 18