Hakim-Hakim 18:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada masa itu belum ada raja di Israel. Suku Dan masih mencari-cari kawasan untuk dijadikan tempat tinggal, kerana mereka belum mendapat tanah seperti suku lain dalam bangsa Israel.

2. Oleh itu suku Dan memilih lima orang yang berani antara semua puak dalam suku mereka yang tinggal di Zora dan Esytaol, lalu memberikan tugas kepada mereka untuk mengintip negeri itu. Semua orang yang dipilih itu berangkat, lalu tiba di kawasan perbukitan Efraim. Di sana mereka menginap di rumah Mikha.

3. Ketika mereka di sana, mereka mengenali loghat pemuda suku Lewi itu. Oleh itu mereka bertanya kepadanya, “Mengapa kamu di sini? Apakah urusanmu? Siapa yang membawa kamu ke sini?”

4. Orang Lewi itu menjawab, “Aku ada persetujuan dengan Mikha. Dia mengupah aku menjadi imamnya.”

5. Mereka berkata kepadanya, “Tanyakanlah kepada Allah, sama ada kami akan berjaya atau tidak dalam perjalanan kami ini.”

6. Imam itu menjawab, “Janganlah khuatir. TUHAN menyertai kamu dalam perjalanan ini.”

7. Kemudian kelima-lima orang itu meneruskan perjalanan ke kota Lais. Mereka nampak bahawa kehidupan orang di situ tenteram seperti kehidupan orang Sidon. Penduduk Lais hidup dengan aman dan sejahtera, dan tidak bermusuhan dengan sesiapa pun; mereka mempunyai segala keperluan. Mereka tinggal jauh daripada orang Sidon dan tidak berurusan dengan bangsa mana-mana pun.

8. Apabila lima orang itu balik ke Zora dan Esytaol, mereka diminta memberikan laporan.

9. Mereka berkata, “Marilah kita serang Lais. Kami telah melihat kota itu. Tanahnya sangat subur. Janganlah buang masa. Cepatlah! Marilah kita rebut kota itu!

10. Apabila kamu tiba di sana, kamu akan mendapati bahawa orang di sana tidak mencurigai suatu apa pun. Tanah itu luas; segala sesuatu yang diingini orang terdapat di situ. Kami yakin bahawa Allah telah memberi kamu tanah itu.”

11. Kemudian enam ratus orang daripada suku Dan berangkat dari Zora dan Esytaol, siap untuk berperang.

12. Mereka pergi ke bahagian barat Kiryat-Yearim di wilayah Yehuda lalu berkhemah di situ. Itulah sebabnya hingga sekarang tempat itu masih dinamakan Perkhemahan Dan.

13. Dari sana mereka berjalan terus ke wilayah perbukitan Efraim sampai ke rumah Mikha.

14. Kemudian lima orang yang telah mengintip negeri di sekitar Lais berkata kepada sahabat-sahabat mereka, “Tahukah kamu bahawa di dalam salah satu rumah ini ada sebuah patung berhala daripada kayu yang bersalut perak? Ada juga beberapa buah patung berhala lain dan sehelai efod. Cuba fikir apa yang harus kita lakukan.”

Hakim-Hakim 18