Hakim-Hakim 16:5-20 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Lima orang raja Filistin datang kepada Delila dan berkata, “Pujuklah Simson untuk memberitahu kamu rahsia kekuatannya, dan caranya untuk menghilangkan kekuatannya supaya kami dapat datang untuk mengikat dia, dan mengalahkannya. Nanti tiap-tiap orang daripada kami akan memberi kamu 1,100 keping wang perak.”

6. Oleh sebab itu Delila berkata kepada Simson, “Simson, apa sebabnya engkau begitu kuat? Dengan apakah engkau harus diikat supaya hilang kekuatanmu? Cuba beritahukan rahsianya!”

7. Simson menjawab, “Jika aku diikat dengan tujuh utas tali busur yang baru dan yang belum kering, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.”

8. Oleh itu raja-raja Filistin itu memberi Delila tujuh utas tali busur yang baru dan yang belum kering. Delila mengikat Simson dengan tali busur itu.

9. Sementara itu, Delila menyuruh beberapa orang Filistin menunggu di bilik yang lain. Kemudian dia berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Langsung Simson memutuskan tali-tali busur itu seperti benang kena api. Mereka masih belum mengetahui rahsia kekuatan Simson.

10. Kemudian Delila berkata kepada Simson, “Engkau telah mempermainkan aku. Engkau berdusta kepadaku. Ayuhlah, beritahu bagaimana engkau dapat diikat.”

11. Simson berkata kepadanya, “Jika aku diikat dengan tali baru yang belum pernah digunakan, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.”

12. Oleh itu Delila mengikat dia dengan beberapa utas tali yang baru, lalu Delila berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Sementara itu orang Filistin sedang menunggu di bilik yang lain. Tetapi Simson memutuskan tali-tali yang mengikat tangannya seperti orang memutuskan benang.

13. Selepas itu Delila berkata kepada Simson, “Engkau masih mempermainkan aku. Engkau berdusta kepadaku. Beritahulah aku bagaimana engkau dapat diikat.”Simson berkata kepadanya, “Jika engkau menenunkan ketujuh-tujuh jalinan rambutku pada alat tenun, lalu menguatkannya dengan pasak, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.”

14. Kemudian Delila membuat Simson tidur. Delila menenun ketujuh-tujuh jalinan rambut Simson pada alat tenunnya, lalu menguatkannya dengan sebuah pasak. Kemudian Delila berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Tetapi Simson bangun dan menarik rambutnya hingga terlepas dari alat tenun itu.

15. Kemudian Delila berkata kepada Simson, “Ah, engkau kata engkau cinta kepadaku, padahal hatimu jauh daripadaku! Sudah tiga kali engkau mempermainkan aku dan sampai sekarang pun engkau tidak mahu memberitahu aku sebabnya engkau begitu kuat.”

16. Tiap-tiap hari Delila terus-menerus merengek-rengek dan mendesak, sehingga Simson bosan mendengarnya.

17. Akhirnya Simson menceritakan rahsianya. Katanya, “Rambutku belum pernah digunting. Sejak dari kandungan aku telah diserahkan kepada Allah untuk menjadi orang Nazir. Jika rambutku dipotong, segala kekuatanku akan hilang. Aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.”

18. Delila sedar bahawa Simson telah menceritakan rahsianya. Oleh itu Delila menyuruh orang memberitahu raja-raja bangsa Filistin, “Datanglah sekali ini saja. Simson telah menceritakan rahsianya.” Kemudian mereka datang sambil membawa wang untuk Delila.

19. Delila membuat Simson tidur di pangkuannya, lalu menyuruh orang memotong tujuh jalinan rambut Simson. Kemudian Delila mula menyeksa Simson, kerana Simson telah kehilangan kekuatannya.

20. Delila berteriak, “Simson! Orang Filistin datang!” Simson bangun dan berfikir, “Aku akan melepaskan diri seperti pada masa-masa lalu.” Simson tidak sedar bahawa TUHAN telah meninggalkan dia.

Hakim-Hakim 16