Hakim-Hakim 15:10-20 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Penduduk Yehuda bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu menyerang kami?”Mereka menjawab, “Kami datang untuk menangkap Simson dan membalas perbuatannya.”

11. Oleh itu tiga ribu orang Yehuda pergi ke gua di bukit batu di Etam. Di sana mereka berkata kepada Simson, “Tidakkah kamu tahu bahawa orang Filistin menguasai kita? Mengapa kamu melakukan perkara ini terhadap kami?”Simson menjawab, “Aku pun hanya membalas perbuatan mereka.”

12. Mereka berkata, “Kami datang untuk mengikat kamu supaya kami dapat menyerahkan kamu kepada orang Filistin.”Simson berkata, “Berjanjilah bahawa kamu tidak akan membunuh aku.”

13. “Baiklah,” jawab mereka. “Kami hanya ingin mengikat kamu dan menyerahkan kamu kepada mereka. Kami tidak akan membunuh kamu.” Kemudian mereka mengikat Simson dengan dua utas tali yang baru, lalu membawa dia pergi dari gua itu.

14. Apabila mereka sampai di Lehi, orang Filistin berlari mendatangi Simson sambil berteriak kepadanya. Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN, lalu dia memutuskan tali yang mengikat lengan dan tangannya, seolah-olah tali itu benang terbakar.

15. Kemudian Simson menjumpai sebuah tulang rahang keldai yang baru mati. Dia mengambil tulang itu lalu menggunakannya untuk membunuh seribu orang.

16. Maka bernyanyilah Simson,“Dengan tulang rahang keldai, aku membunuh seribu orang;dengan tulang rahang keldai, aku menimbunkan mayat mereka menjadi suatu timbunan.”

17. Kemudian dia membuang tulang rahang itu. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Ramat-Lehi.

18. Selepas itu Simson berasa sangat dahaga, lalu dia berseru kepada TUHAN, “Engkau telah memberi aku kemenangan yang besar ini. Tetapi sekarang, haruskah aku mati kerana dahaga, sehingga ditangkap oleh orang Filistin yang tidak mengenal Engkau?”

19. Kemudian Allah membuka satu lubang di Lehi, lalu air keluar dari situ. Simson minum, lalu menjadi segar semula. Oleh itu, mata air itu dinamakan Mata Air Hakor. Mata air itu masih ada di Lehi.

20. Simson memimpin umat Israel selama dua puluh tahun semasa orang Filistin menguasai negeri itu.

Hakim-Hakim 15