Hakim-Hakim 11:25-37 Alkitab Berita Baik (BM)

25. Adakah tuanku berpendapat bahawa tuanku lebih baik daripada Raja Balak anak Zipor, penguasa Moab? Raja Balak sendiri tidak pernah berperang dengan Israel, ataupun mencabar Israel!

26. Israel telah menduduki Hesybon, Aroer, dan pekan-pekan di sekelilingnya, serta semua kota di pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun. Mengapakah tuanku tidak merebutnya selama itu?

27. Hamba tidak bersalah terhadap tuanku. Tuankulah yang bersalah kerana memerangi hamba. TUHAN sendirilah yang menjadi hakim. Dia akan mengadili perkara ini antara umat Israel dan orang Amon.”

28. Tetapi raja Amon tidak menghiraukan berita yang dikirim oleh Yefta itu.

29. Pada saat itu Roh TUHAN menguasai Yefta. Kemudian Yefta menjelajah seluruh Gilead dan Manasye, lalu kembali ke Mizpa di Gilead. Dari sana dia pergi ke Amon.

30. Yefta berjanji kepada TUHAN, katanya, “Jika TUHAN membenarkan aku mengalahkan orang Amon,

31. aku akan mempersembahkan orang yang pertama-tama keluar dari rumahku untuk menyambut aku, sekembalinya aku dari peperangan. Aku akan mempersembahkan orang itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.”

32. Oleh itu Yefta menyeberangi sungai untuk memerangi orang Amon dan TUHAN memberi dia kemenangan.

33. Yefta memerangi mereka habis-habisan, dari Aroer sampai ke kawasan di sekeliling Minit, semuanya dua puluh buah kota, dan sampai ke Abel-Keramim. Banyak sekali orang Amon yang terbunuh, sehingga mereka dikalahkan oleh orang Israel.

34. Apabila Yefta kembali ke Mizpa, anak perempuannya datang menyambut dia, sambil menari dan memukul tamburin. Dia anak tunggal Yefta.

35. Ketika Yefta nampak anaknya, dia mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Katanya, “Aduh anakku, hancurlah hatiku! Mengapakah harus anakku yang menjadikan hatiku pedih? Aku telah bersumpah kepada TUHAN dan aku tidak dapat memungkiri janjiku!”

36. Anaknya menjawab, “Jika ayah telah bersumpah kepada TUHAN, lakukanlah apa saja terhadap diri saya untuk memenuhi janji ayah itu. TUHAN telah memperkenankan ayah membalas dendam terhadap orang Amon, musuh ayah itu.”

37. Anak perempuan itu berkata lagi kepada bapanya, “Saya cuma mohon satu hal: Berilah saya masa dua bulan, supaya saya dapat mengembara di pergunungan bersama dengan sahabat-sahabat saya. Di sana saya akan bersedih kerana saya mesti meninggal ketika masih dara.”

Hakim-Hakim 11