Hakim-Hakim 11:15-25 Alkitab Berita Baik (BM)

15. untuk menjawab begini, “Umat Israel tidak merebut negeri Moab ataupun negeri Amon.

16. Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka menuju ke Teluk Akaba melalui padang gurun, lalu tiba di Kades.

17. Dari situ mereka mengutus orang untuk menghadap raja Edom, dan meminta kebenaran untuk melalui negerinya, tetapi raja Edom menolak permintaan mereka. Mereka juga meminta kebenaran daripada raja Moab, tetapi raja Moab pun menolak permintaan mereka. Oleh sebab itu umat Israel tinggal di Kades.

18. Kemudian mereka meneruskan perjalanan melalui padang gurun, tetapi tidak melalui negeri Edom dan Moab, melainkan mengambil jalan keliling sehingga mereka tiba di sebelah timur Moab, di seberang Sungai Arnon. Mereka berkhemah di sana, tetapi tidak menyeberangi sungai itu kerana sungai itu termasuk negeri Moab.

19. Selepas itu Israel mengutus orang kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori di Hesybon. Mereka meminta kebenaran untuk melalui negerinya, kerana mereka dalam perjalanan ke tanah mereka sendiri.

20. Tetapi Raja Sihon juga menolak permintaan mereka. Baginda mengumpulkan seluruh angkatan tenteranya lalu berkhemah di Yahas. Kemudian mereka menyerang umat Israel.

21. Tetapi TUHAN, Allah Israel menyerahkan Raja Sihon dan angkatan tenteranya ke tangan orang Israel. Demikianlah umat Israel memiliki semua tanah orang Amori yang tinggal di negeri itu.

22. Mereka menduduki seluruh wilayah orang Amori, bermula dari Arnon di sebelah selatan sampai ke Yabok di sebelah utara, dan dari padang gurun di sebelah timur sampai ke Sungai Yordan di sebelah barat.

23. Maka TUHAN, Allah Israel itulah yang mengusir orang Amori bagi umat-Nya, orang Israel.

24. Adakah tuanku hendak merebutnya kembali? Ambillah apa yang telah diberikan oleh Kamos, dewa tuanku. Tetapi hamba sekalian akan mempertahankan segala yang telah diberikan TUHAN, Allah hamba sekalian kepada hamba sekalian.

25. Adakah tuanku berpendapat bahawa tuanku lebih baik daripada Raja Balak anak Zipor, penguasa Moab? Raja Balak sendiri tidak pernah berperang dengan Israel, ataupun mencabar Israel!

Hakim-Hakim 11