1. Yefta, orang Gilead, ialah seorang askar yang berani. Bapanya bernama Gilead, tetapi ibunya seorang pelacur.
2. Gilead mempunyai anak-anak lain daripada isterinya yang sah. Setelah anak-anaknya itu dewasa, mereka mengusir Yefta dari rumah. Mereka berkata, “Engkau tidak akan mewarisi apa-apa daripada ayah kami, kerana engkau anak daripada perempuan lain.”
3. Oleh itu Yefta lari daripada saudara-saudaranya lalu tinggal di wilayah Tob. Di sana dia mengetuai segerombolan orang jahat, lalu mereka pergi merompak.
4. Tidak berapa lama kemudian umat Israel diserang oleh orang Amon.
5. Ketika kejadian itu berlaku, para pemimpin Gilead menjemput Yefta kembali dari wilayah Tob.
6. Mereka berkata kepadanya, “Jadilah panglima kami supaya kami dapat melawan orang Amon.”
7. Tetapi Yefta menjawab, “Tidakkah kamu membenci aku? Kamu mengusir aku dari rumah bapaku. Mengapakah sekarang, pada masa kesusahan, kamu datang kepadaku?”
8. Mereka berkata kepada Yefta, “Sekarang kami datang kepadamu kerana kami mahu kamu ikut kami, dan mengetuai semua orang Gilead untuk memerangi orang Amon.”
9. Yefta berkata kepada mereka, “Jika kamu membawa aku pulang untuk memerangi orang Amon, dan jika TUHAN menyerahkan mereka kepadaku, maka aku akan menjadi pemerintah kamu.”
10. Mereka menjawab, “Kami setuju. TUHAN saksi kami.”
11. Oleh itu Yefta berangkat bersama dengan para pemimpin Gilead. Kemudian mereka menjadikan dia pemerintah dan panglima. Yefta menyatakan tuntutan-tuntutannya di hadapan TUHAN, di Mizpa.
12. Selepas itu Yefta mengutus orang kepada raja Amon untuk mengatakan begini, “Apakah kesalahan hamba sekalian? Mengapa tuanku menyerang negeri hamba sekalian?”
13. Raja Amon menjawab utusan Yefta, “Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka merebut negeri beta, bermula dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan Sungai Yordan. Sekarang kembalikanlah wilayah itu secara damai.”
14. Yefta mengirim utusan-utusan lagi kepada raja Amon
15. untuk menjawab begini, “Umat Israel tidak merebut negeri Moab ataupun negeri Amon.
16. Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka menuju ke Teluk Akaba melalui padang gurun, lalu tiba di Kades.