1. Inilah perkhabaran yang dinyatakan oleh TUHAN kepada Nabi Habakuk.
2. Ya TUHAN, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan? Bilakah Engkau akan mendengarkan aku dan menyelamatkan kami daripada keganasan?
3. Mengapa Engkau membiarkan aku mengalami kesusahan seperti ini? Bagaimana Engkau dapat tahan sabar dengan orang yang melakukan kejahatan? Kehancuran dan keganasan berlaku di sekelilingku. Pergaduhan dan pertengkaran berlaku di merata-rata tempat.
4. Oleh itu undang-undang lemah dan tidak berguna; keadilan tidak pernah ditegakkan. Orang jahat selalu mengalahkan orang jujur di mahkamah; oleh itu keadilan diputarbalikkan.
5. Kemudian TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah bangsa-bangsa di sekitar kamu dan kamu akan hairan serta terperanjat. Tidak lama lagi Aku akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin kamu percaya apabila kamu mendengarnya.
6. Dengarlah! Aku akan menjadikan orang Babilonia berkuasa, bangsa yang bengis dan gopoh. Mereka mara ke seluruh dunia untuk menaklukkan negeri lain.
7. Mereka menimbulkan ketakutan dan kegentaran di merata-rata tempat. Mereka sangat sombong sehingga beranggapan bahawa semua perbuatan mereka betul dan sah di sisi undang-undang.
8. Kuda orang Babilonia lebih pantas daripada harimau bintang dan lebih ganas daripada serigala yang lapar. Pasukan askar berkuda Babilonia datang dari negeri-negeri jauh; kuda mereka menderap. Pasukan askar berkuda datang menyerang seperti burung helang menyambar mangsa.