11. Raja Artahsasta memberi Ezra, imam dan pakar Taurat itu, dokumen berikut:
12. “Daripada Raja Artahsasta kepada Imam Ezra, pakar Taurat Allah penguasa di syurga.
13. Beta bertitah bahawa semua imam, orang Lewi dan orang Israel lain di seluruh kerajaan beta, yang ingin pergi ke Yerusalem, dibenarkan pergi bersama dengan kamu.
14. Beta, bersama-sama tujuh orang penasihat beta, mengutus kamu untuk menyelidiki keadaan di Yerusalem dan Yehuda. Periksalah sama ada Taurat Allah yang telah diamanahkan kepadamu itu benar-benar ditaati.
15. Bawalah bersama-samamu emas dan perak yang hendak beta dan para penasihat beta persembahkan kepada Allah Israel, Allah yang tinggal di Yerusalem.
16. Bawalah juga perak serta emas yang telah kamu kumpulkan di seluruh wilayah Babilonia, dan juga persembahan orang Israel serta imam-imam mereka bagi Rumah TUHAN, Allah mereka yang dibina di Yerusalem.
17. Gunakanlah wang itu dengan cermat untuk membeli lembu jantan, domba jantan, anak domba, gandum, dan wain. Persembahkanlah semua persembahan itu di mazbah Rumah TUHAN di Yerusalem.
18. Gunakanlah perak dan emas yang selebihnya untuk keperluan apa sahaja bagimu dan rakan-rakanmu, menurut kehendak Allahmu.
19. Segala perkakas yang telah diserahkan kepadamu bagi keperluan ibadat di Rumah TUHAN itu harus kamu persembahkan kepada Allah.
20. Segala keperluan lain yang kamu perlukan untuk Rumah TUHAN, bolehlah kamu minta dari perbendaharaan kerajaan.
21. Beta memerintah supaya apa sahaja yang diminta oleh Imam Ezra, pakar Taurat Allah penguasa di syurga, harus diberikan dengan segera oleh semua pegawai perbendaharaan di wilayah Efrat Barat.
22. Jumlahnya boleh sampai sebanyak ini: 3,400 kilogram perak, 10,000 kilogram gandum, 2,000 liter wain, 2,000 liter minyak zaitun dan garam seberapa banyak yang diperlukan.
23. Berhati-hatilah melaksanakan segala yang telah diwajibkan Allah penguasa di syurga bagi Rumah-Nya, supaya Dia tidak murka terhadap beta ataupun terhadap orang yang memerintah selepas beta.
24. Janganlah pungut cukai daripada para imam, orang Lewi, penyanyi, pengawal pintu gerbang, pekerja, atau sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan Rumah TUHAN.
25. Hendaklah kamu, Ezra, menggunakan kebijaksanaan yang telah diberikan Allah kepadamu. Lantiklah pentadbir-pentadbir dan hakim-hakim supaya memimpin rakyat di Efrat Barat, yang hidup menurut Taurat Allahmu. Hendaklah kamu mengajarkan Taurat itu kepada semua orang yang belum mengetahuinya.
26. Sesiapa yang tidak mentaati hukum Allahmu atau undang-undang kerajaan, hendaklah dihukum dengan serta-merta dengan hukuman mati, atau pembuangan, atau perampasan harta, ataupun hukuman penjara.”
27. Kemudian Ezra berkata, “Pujilah TUHAN, Allah nenek moyang kita! Dia telah menggerakkan hati raja sehingga baginda memberikan perhatian khas pada Rumah TUHAN di Yerusalem.