11. Beta memerintahkan juga bahawa sesiapa melanggar perintah beta ini, tulang bumbung rumahnya akan dibongkar, diruncingkan, lalu ditusukkan ke dalam badannya sampai tembus. Rumah orang itu akan dijadikan tempat timbunan sampah.
12. Semoga Allah yang telah memilih Yerusalem sebagai tempat Dia disembah, membinasakan raja atau bangsa apa sahaja yang melanggar perintah ini serta cuba memusnahkan Rumah TUHAN. Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Jalankanlah perintah ini dengan sebaik-baiknya.”
13. Selepas itu, Gabenor Tatnai dari Efrat Barat, Syetar-Boznai dan rakan-rakan mereka melakukan tepat seperti yang diperintahkan Raja Darius.
14. Para pemimpin orang Yahudi meneruskan pembinaan Rumah itu dengan pesat. Mereka digalakkan oleh Nabi Hagai dan Zakharia. Mereka menyelesaikan pembinaan Rumah itu menurut perintah Allah Israel dan perintah Raja Kores, Raja Darius, dan Raja Artahsasta, raja-raja Persia.
15. Mereka menyelesaikan pembinaan itu pada hari ketiga bulan Adar, pada tahun keenam pemerintahan Raja Darius.
16. Kemudian umat Israel, para imam, orang Lewi dan semua orang yang telah pulang dari pembuangan, mentahbiskan Rumah TUHAN itu dengan sukacita.
17. Untuk pentahbisan itu mereka mempersembahkan 100 ekor lembu jantan, 200 ekor domba jantan, dan 400 ekor anak domba kepada TUHAN. Untuk korban pengampunan dosa, mereka mempersembahkan dua belas ekor kambing jantan, seekor bagi setiap suku Israel.
18. Mereka juga menyusun pekerjaan para imam dan orang Lewi di Rumah TUHAN di Yerusalem, menurut peraturan yang tertulis dalam kitab Musa.
19. Mereka yang telah pulang dari pembuangan itu merayakan Paska pada hari keempat belas bulan pertama tahun yang berikutnya.
20. Semua imam dan orang Lewi telah melakukan upacara pembersihan diri sehingga dianggap suci. Orang Lewi menyembelih binatang untuk korban Paska bagi para imam, dan bagi semua orang yang telah pulang dari pembuangan serta bagi mereka sendiri.
21. Korban itu dimakan oleh semua orang Israel yang telah pulang dari pembuangan, dan penduduk negeri itu yang telah meninggalkan cara hidup yang berdosa, lalu datang untuk menyembah TUHAN, Allah Israel.
22. Selama tujuh hari, dengan gembira mereka merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Mereka bersukacita kerana TUHAN telah menyebabkan raja negeri Asyur bermurah hati terhadap mereka, sehingga baginda menolong mereka membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel.