11. Beta memerintahkan juga bahawa sesiapa melanggar perintah beta ini, tulang bumbung rumahnya akan dibongkar, diruncingkan, lalu ditusukkan ke dalam badannya sampai tembus. Rumah orang itu akan dijadikan tempat timbunan sampah.
12. Semoga Allah yang telah memilih Yerusalem sebagai tempat Dia disembah, membinasakan raja atau bangsa apa sahaja yang melanggar perintah ini serta cuba memusnahkan Rumah TUHAN. Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Jalankanlah perintah ini dengan sebaik-baiknya.”
13. Selepas itu, Gabenor Tatnai dari Efrat Barat, Syetar-Boznai dan rakan-rakan mereka melakukan tepat seperti yang diperintahkan Raja Darius.
14. Para pemimpin orang Yahudi meneruskan pembinaan Rumah itu dengan pesat. Mereka digalakkan oleh Nabi Hagai dan Zakharia. Mereka menyelesaikan pembinaan Rumah itu menurut perintah Allah Israel dan perintah Raja Kores, Raja Darius, dan Raja Artahsasta, raja-raja Persia.
15. Mereka menyelesaikan pembinaan itu pada hari ketiga bulan Adar, pada tahun keenam pemerintahan Raja Darius.