Ezra 4:14-24 Alkitab Berita Baik (BM)

14. Hamba sekalian terhutang budi kepada tuanku, kerana itu kami tidak ingin melihat perkara itu berlaku. Hamba sekalian mencadangkan

15. supaya tuanku memeriksa arkib para nenek moyang tuanku. Tentu tuanku akan mengetahui bahawa sejak dahulu, kota itu sentiasa memberontak dan menyusahkan para raja dan penguasa negeri. Penduduknya selalu susah diperintah dan itulah sebabnya kota itu dimusnahkan.

16. Hamba sekalian yakin bahawa jika kota itu dibina semula dan temboknya didirikan, tuanku tidak dapat menguasai wilayah Efrat Barat lagi.”

17. Raja membalas surat itu demikian,“Kepada Gabenor Rehum, Setiausaha Simsai, serta rakan-rakan mereka yang tinggal di Samaria dan di tempat lain di Efrat Barat. Salam.

18. Surat tuan-tuan telah diterjemahkan dan dibacakan kepada beta.

19. Beta telah memerintah supaya perkara itu disiasat. Memang benar bahawa sejak dahulu Yerusalem telah memberontak terhadap raja-raja, dan bahawa kota itu penuh dengan pemberontak dan perusuh.

20. Raja-raja yang perkasa telah memerintah di sana dan di seluruh wilayah Efrat Barat, serta memungut cukai dan ufti.

21. Oleh itu keluarkanlah perintah supaya semua orang itu berhenti membina kota itu sehingga beta memberikan perintah selanjutnya.

22. Laksanakanlah perintah ini dengan segera supaya kerajaan kita tidak menanggung kerugian yang lebih besar.”

23. Sebaik sahaja surat daripada Raja Artahsasta itu dibacakan kepada Rehum, Simsai dan rakan-rakan mereka, berangkatlah mereka dengan tergesa-gesa ke Yerusalem. Lalu mereka memaksa orang Yahudi menghentikan pembinaan kota itu.

24. Pembinaan Rumah TUHAN telah tergendala sehingga tahun kedua pemerintahan Raja Darius, raja Persia.

Ezra 4