4. Apabila dayang-dayang dan sida-sida yang melayani Ester memberitahu Ester apa yang sedang dilakukan Mordekhai, Ester sangat gelisah. Dia mengirim pakaian kepada Mordekhai supaya dia tidak memakai kain guni, tetapi Mordekhai tidak mahu menerimanya.
5. Kemudian Ester memanggil Hatah, salah seorang sida-sida di istana yang ditugaskan raja untuk melayani Ester. Ester menyuruh Hatah bertanya kepada Mordekhai apa yang sedang berlaku dan mengapa dia bertindak begitu.
6. Hatah pergi kepada Mordekhai di lapangan kota, di hadapan pintu gerbang istana.
7. Mordekhai memberitahu dia segala yang dialaminya, dan berapa banyak wang perak yang dijanjikan oleh Haman untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan diraja, setelah semua orang Yahudi dibunuh.
8. Dia memberi Hatah salinan surat raja yang sudah diisytiharkan di Susan, yang mengandungi perintah untuk membinasakan semua orang Yahudi. Mordekhai menyuruh Hatah membawa surat itu kepada Ester dan menjelaskan perkara itu kepadanya. Mordekhai juga meminta supaya Ester menghadap raja dan memohon belas kasihan bagi bangsanya.
9. Kemudian Hatah pergi kepada Ester dan menyampaikan pesan Mordekhai kepadanya.
10. Tetapi Ester mengutus Hatah kembali kepada Mordekhai dengan pesan berikut,
11. “Sesiapa sahaja, lelaki atau perempuan, akan dihukum mati, jika dia masuk menghadap raja di istana, di halaman bahagian dalam, tanpa dipanggil oleh raja sendiri. Itulah undang-undang, dan semua orang, baik penasihat raja mahupun rakyat jelata, mengetahui hal itu. Ada satu jalan saja untuk lepas daripada undang-undang itu, iaitu apabila raja menghulurkan tongkat emasnya kepada orang yang datang menghadap. Tetapi sudah satu bulan raja tidak memanggil saya.”
12. Selepas Mordekhai menerima pesan Ester itu,
13. dia mengirim amaran berikut kepada Ester, “Jangan sangka bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana.
14. Jika kamu berdiam diri dalam keadaan seperti ini, orang Yahudi pasti akan mendapat pertolongan dari syurga, tetapi kamu sendiri akan mati dan keluarga bapamu akan berakhir. Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!”
15. Kemudian Ester mengirimkan pesan berikut kepada Mordekhai,
16. “Suruhlah semua orang Yahudi di Susan berkumpul. Suruhlah mereka berpuasa dan berdoa bagi saya. Jangan makan atau minum apa-apa pun selama tiga hari dan tiga malam. Saya sendiri dan dayang-dayang saya pun akan berbuat demikian. Setelah itu saya akan menghadap raja, walaupun perbuatan itu melanggar undang-undang. Jika saya harus mati kerana hal itu, biarlah saya mati!”
17. Kemudian Mordekhai pergi dari situ dan melakukan semua yang dipesankan oleh Ester.