Ester 1:3-9 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Pada tahun ketiga pemerintahannya, Raja Ahasyweros mengadakan jamuan besar bagi semua pembesar dan pegawainya. Para panglima Persia dan Media, serta para gabenor dan pegawai tinggi dari wilayah-wilayah turut hadir di jamuan itu.

4. Selama enam bulan raja mempamerkan kekayaan istananya, dan kemegahan serta keagungan kerajaan baginda.

5. Selepas itu raja mengadakan jamuan bagi semua penduduk ibu kota, baik yang kaya mahupun yang miskin. Jamuan itu diadakan di taman istana raja, dan berlangsung selama satu minggu.

6. Pekarangan istana dihias dengan tirai daripada kain linen berwarna biru dan putih, yang diikat dengan pita linen ungu yang halus, dan disangkutkan pada gelang-gelang perak yang dipasang pada tiang-tiang marmar. Sofa-sofa daripada emas dan perak di pekarangan istana, diletakkan di atas lantai yang berturap marmar putih, hablur merah, gewang yang berkilap, dan batu firus biru.

7. Raja menyediakan sangat banyak wain yang dihidangkan di dalam cawan-cawan emas beraneka ragam.

8. Wain yang diminum para tetamu tidak dihadkan. Raja sudah memberikan perintah kepada para pelayan istana supaya melayani setiap tetamu menurut keinginan masing-masing.

9. Sementara itu, di dalam istana Permaisuri Wasti juga memberikan jamuan kepada para wanita.

Ester 1