Daniel 9:3-12 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan-Nya, sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu.

4. Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengaku dosa bangsaku di hadapan-Nya.Aku berkata, “Ya Tuhan Allah, Engkau besar, dan kami menghormati Engkau. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan Engkau sentiasa mengasihi orang yang mengasihi Engkau dan yang mentaati perintah-Mu.

5. Kami telah berdosa. Kami telah melakukan kejahatan. Kami telah berbuat salah. Kami telah melanggar perintah-Mu, dan menyimpang daripada peraturan-Mu.

6. Kami tidak mendengarkan nabi-nabi, hamba-hamba-Mu, yang telah berucap demi nama-Mu kepada raja, penguasa, dan nenek moyang kami, serta seluruh bangsa kami.

7. Engkau, ya Tuhan selalu berbuat yang benar, sedangkan kami selalu mendatangkan malu kepada kami sendiri. Demikian juga semua bangsa kami yang tinggal di Yehuda, Yerusalem, dan semua orang Israel yang Engkau cerai-beraikan di negeri-negeri dekat dan jauh kerana mereka tidak setia kepada-Mu.

8. Raja-raja kami, penguasa-penguasa kami dan nenek moyang kami telah melakukan hal yang memalukan serta berdosa terhadap-Mu, ya Tuhan.

9. Engkau penuh belas kasihan dan keampunan, walaupun kami telah memberontak terhadap-Mu.

10. Kami tidak mendengarkan Engkau, ya TUHAN, Allah kami, ketika Engkau menyuruh kami hidup menurut hukum yang Engkau berikan kepada kami melalui para nabi, hamba-hamba-Mu.

11. Semua umat Israel telah melanggar hukum-Mu dan tidak mahu mendengarkan Engkau. Kami telah berdosa terhadap-Mu. Kami berdosa terhadap Engkau, oleh itu Engkau menghukum kami dengan kutukan yang tertulis dalam Taurat Musa, hamba-Mu itu.

12. Engkau telah melaksanakan ancaman-Mu terhadap kami dan penguasa-penguasa kami. Engkau menghukum Yerusalem lebih dahsyat daripada kota-kota lain di dunia.

Daniel 9