Daniel 9:2-7 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Pada tahun pertama pemerintahannya, aku mengkaji kitab-kitab suci. Aku merenungkan hal kota Yerusalem yang akan menjadi reruntuhan selama tujuh puluh tahun, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Nabi Yeremia.

3. Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan-Nya, sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu.

4. Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengaku dosa bangsaku di hadapan-Nya.Aku berkata, “Ya Tuhan Allah, Engkau besar, dan kami menghormati Engkau. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan Engkau sentiasa mengasihi orang yang mengasihi Engkau dan yang mentaati perintah-Mu.

5. Kami telah berdosa. Kami telah melakukan kejahatan. Kami telah berbuat salah. Kami telah melanggar perintah-Mu, dan menyimpang daripada peraturan-Mu.

6. Kami tidak mendengarkan nabi-nabi, hamba-hamba-Mu, yang telah berucap demi nama-Mu kepada raja, penguasa, dan nenek moyang kami, serta seluruh bangsa kami.

7. Engkau, ya Tuhan selalu berbuat yang benar, sedangkan kami selalu mendatangkan malu kepada kami sendiri. Demikian juga semua bangsa kami yang tinggal di Yehuda, Yerusalem, dan semua orang Israel yang Engkau cerai-beraikan di negeri-negeri dekat dan jauh kerana mereka tidak setia kepada-Mu.

Daniel 9