Daniel 8:12-25 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Di situ orang melakukan dosa dan tidak lagi mempersembahkan korban-korban harian yang diwajibkan. Hal yang benar tentang Allah dipandang hina. Tanduk kecil itu berjaya dalam segala usahanya.

13. Kemudian aku mendengar satu malaikat bertanya kepada malaikat yang lain, “Berapa lamakah perkara yang dilihat dalam penglihatan itu akan berlangsung? Berapa lamakah dosa yang keji akan menggantikan korban harian? Berapa lamakah bala tentera syurga dan Rumah TUHAN akan diinjak-injak?”

14. Aku mendengar malaikat yang lain menjawab, “Hal itu akan berlaku selama 1,150 hari, dan selama itu korban pagi dan korban petang tidak akan dipersembahkan. Selepas itu Rumah TUHAN akan dipulihkan.”

15. Ketika aku sedang berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku.

16. Aku mendengar suara dari Sungai Ulai berkata, “Gabriel, terangkanlah makna penglihatan itu kepadanya.”

17. Gabriel mendekati aku dan berdiri di sisiku. Aku begitu takut sehingga aku meniarapkan diri.Gabriel berkata kepadaku, “Hai manusia fana, fahamilah maknanya. Penglihatan itu tentang akhir zaman.”

18. Sedang dia bercakap, aku jatuh ke tanah dan tidak sedar. Tetapi dia memegang aku, dan menolong aku berdiri.

19. Katanya lagi, “Aku akan memberitahu engkau keadaannya kelak sebagai akibat kemurkaan Allah. Penglihatan itu tentang akhir zaman.

20. Domba jantan yang mempunyai dua buah tanduk, yang kamu nampak itu melambangkan kerajaan Media dan Persia.

21. Kambing jantan itu melambangkan kerajaan Yunani, dan tanduk yang menonjol di antara dua matanya melambangkan raja yang pertama.

22. Empat buah tanduk yang muncul selepas tanduk yang pertama itu patah, bermakna kerajaan Yunani akan terpecah menjadi empat kerajaan yang tidak sekuat kerajaan yang pertama itu.

23. Apabila keruntuhan keempat-empat kerajaan itu telah dekat sehingga harus dihukum, dan kejahatan di situ telah memuncak, maka akan muncul seorang raja yang keras kepala, jahat, dan licik.

24. Dia akan menjadi kuat, tetapi bukan dengan kuasanya sendiri. Dia akan menyebabkan kebinasaan yang mengerikan, dan akan berjaya dalam segala usahanya. Dia akan membinasakan orang yang gagah perkasa, dan umat Allah juga.

25. Oleh kerana kelicikannya, dia akan berjaya dalam segala penipuannya. Dia akan berbangga dengan dirinya, dan membinasakan banyak orang tanpa memberikan amaran. Malahan dia akan berani mencabar Raja Yang Maha Besar. Tetapi dia akan dibinasakan tanpa kuasa manusia.

Daniel 8