Daniel 7:19-28 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Kemudian aku hendak tahu tentang binatang yang keempat itu, yang tidak sama dengan yang lain-lain itu; binatang yang menakutkan dan meremukkan mangsanya dengan kuku gangsa dan gigi besinya, lalu menginjak-injak mangsanya.

20. Aku hendak tahu tentang sepuluh buah tanduk di kepalanya, dan tentang tanduk kecil yang muncul kemudian, yang menyebabkan tercabutnya tiga buah tanduk yang lain. Tanduk kecil itu mempunyai mata dan mulut yang bercakap dengan sombong. Tanduk kecil itu lebih menakutkan daripada tanduk-tanduk yang lain.

21. Semasa aku memandang, tanduk kecil itu berperang dengan umat Allah dan menaklukkan mereka.

22. Lalu Dia yang hidup selama-lamanya datang dan memberikan keputusan yang memihak umat Allah Yang Maha Tinggi. Masanya telah tiba bagi umat Allah menerima kuasa untuk memerintah.

23. Inilah tafsiran yang diberikan kepadaku: “Binatang keempat itu ialah kerajaan keempat yang akan muncul di bumi dan berbeza dengan kerajaan yang lain. Kerajaan itu akan menghancurkan seluruh bumi serta menginjak-injaknya.

24. Sepuluh tanduk itu ialah sepuluh orang raja yang akan memerintah kerajaan itu. Kemudian seorang raja lain akan muncul. Dia berbeza sekali dengan raja-raja yang terdahulu, dan akan mengalahkan tiga orang raja.

25. Dia akan menentang Allah Yang Maha Tinggi dan menindas umat Allah. Dia akan cuba mengubah hukum dan perayaan agama mereka dan umat Allah akan ditakluknya selama tiga tahun setengah.

26. Kemudian mahkamah pengadilan syurga akan bersidang dan merampas kuasanya, serta membinasakannya sehingga musnah.

27. Kuasa serta kebesaran segala kerajaan di bumi akan diberikan kepada umat Allah Yang Maha Tinggi. Kuasa mereka untuk memerintah tidak akan berakhir, dan semua penguasa di bumi akan mengabdi kepada mereka serta mentaati mereka.”

28. Demikianlah kisah mimpi itu. Aku begitu takut sehingga mukaku pucat dan aku menyimpan segala perkara itu dalam hatiku.

Daniel 7