Daniel 6:14-29 Alkitab Berita Baik (BM)

14. Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah satu orang buangan dari Yehuda, tidak menghormati tuanku dan tidak mematuhi perintah tuanku. Dia tetap berdoa tiga kali sehari.”

15. Apabila mendengar hal itu, raja dukacita dan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Daniel. Raja terus berusaha sehingga petang.

16. Kemudian orang yang berkomplot itu kembali dan berkata kepada raja, “Tuanku tahu bahawa menurut undang-undang Media dan Persia, perintah yang dikeluarkan oleh raja tidak boleh diubah.”

17. Lalu raja pun memberikan perintah agar Daniel ditangkap dan dibuang ke dalam gua singa. Raja bertitah kepada Daniel, “Semoga Allah yang kamu sembah dengan setia itu menyelamatkan kamu.”

18. Kemudian mulut gua ditutup dengan sebuah batu besar, dan raja memeteraikan batu itu dengan meterainya sendiri serta meterai para pembesarnya, supaya tidak seorang pun dapat menyelamatkan Daniel.

19. Selepas itu raja kembali ke istana, tetapi malam itu baginda tidak dapat beradu. Baginda tidak bersantap dan tidak mahu dihibur.

20. Pada waktu subuh, raja bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu.

21. Setibanya di situ, baginda memanggil dengan cemas, “Daniel, hamba Allah yang hidup! Adakah Allah yang kamu layani dengan begitu setia itu dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?”

22. Daniel menjawab, “Daulat tuanku!

23. Allah telah mengirim malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu sehingga hamba tidak diapa-apakan. Dia berbuat demikian kerana Dia tahu hamba tidak bersalah, baik terhadap Dia mahupun terhadap tuanku.”

24. Alangkah gembiranya raja! Baginda memberikan perintah agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Maka Daniel pun ditarik keluar, dan dia didapati tidak cedera sedikit pun, kerana dia percaya kepada Allah.

25. Selepas itu raja memberikan perintah agar semua orang yang telah menuduh Daniel, dibuang ke dalam gua singa itu berserta anak isteri mereka. Sebelum mereka jatuh ke dasar gua itu, singa-singa itu sudah pun menerkam mereka dan mematah-matahkan tulang mereka.

26. Kemudian Raja Darius menulis surat kepada orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa di dunia:“Salam sejahtera!

27. Dengan ini beta memberikan perintah agar semua orang di seluruh kerajaan beta menghormati serta takut kepada Allah yang disembah Daniel.Dialah Allah yang hidup,Dia memerintah selama-lamanya.Kerajaan-Nya tidak sekali-kali akan binasa,dan kuasa-Nya tidak akan ada akhirnya.

28. Dia menolong dan menyelamatkan;melakukan mukjizat dan keajaiban,baik di bumi mahupun di syurga.Dia menyelamatkan Daniel daripada terkaman singa.”

29. Demikianlah Daniel tetap berkedudukan tinggi pada masa pemerintahan Raja Darius dan Raja Kores, orang Persia itu.

Daniel 6