Daniel 5:3-17 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Dengan serta-merta mangkuk-mangkuk itu dibawa masuk, dan mereka semua minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu.

4. Sambil minum, mereka memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu.

5. Tiba-tiba terlihat tangan manusia, dan tangan itu mula menulis pada tembok istana, di bahagian yang paling terang kena sinar pelita. Raja Belsyazar melihat tangan yang sedang menulis itu.

6. Raja begitu takut sehingga mukanya pucat dan lututnya gementar.

7. Raja berteriak memanggil para ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum. Apabila mereka menghadap, raja bertitah kepada mereka, “Sesiapa yang dapat membaca tulisan itu serta mentafsirkannya akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran. Orang itu akan dilantik menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan ini.”

8. Para penasihat raja melangkah ke depan, tetapi tidak seorang pun dapat membaca tulisan itu ataupun menjelaskan maknanya.

9. Oleh sebab ketakutan, muka Raja Belsyazar bertambah pucat, dan para pembesarnya tidak tahu apa yang harus dilakukan.

10. Bonda raja mendengar bunyi riuh yang disebabkan oleh raja dan para jemputannya. Baginda masuk ke dalam dewan jamuan itu dan bertitah, “Daulat tuanku! Janganlah khuatir sehingga tuanku pucat.

11. Ada seorang dalam kerajaan tuanku yang memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci. Pada masa pemerintahan ayahanda tuanku, orang itu telah membuktikan kecerdasan, pengetahuan, dan kebijaksanaan yang seperti kebijaksanaan para dewa. Ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar, melantik dia menjadi ketua semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum.

12. Dia mempunyai kebolehan yang luar biasa. Dia bijak dan pandai mentafsirkan mimpi, menjawab teka-teki, serta menyatakan rahsia. Nama orang itu Daniel, tetapi raja menamakan dia Beltsazar. Panggillah dia. Dia akan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku.”

13. Dengan segera Daniel dibawa menghadap raja. Raja bertanya kepadanya, “Kamukah Daniel, orang Yahudi buangan yang dibawa dari Yehuda ke sini oleh raja, ayahanda beta?

14. Beta mendengar bahawa kamu memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci, dan kamu berpengetahuan, pandai, serta bijak.

15. Para penasihat dan ahli sihir telah disuruh membaca dan mentafsirkan tulisan itu, tetapi mereka tidak dapat.

16. Beta mendengar bahawa kamu dapat mentafsirkan rahsia-rahsia yang dalam dan tersembunyi. Jika kamu dapat membaca dan mentafsirkan tulisan itu, maka kamu akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran, dan kamu akan dilantik menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan ini.”

17. Daniel menjawab, “Hamba mohon tuanku menyimpan hadiah tuanku itu untuk tuanku sendiri, atau memberikannya kepada orang lain. Hamba akan membaca dan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku.

Daniel 5